Datasonic yakin raih pendapatan lebih tinggi
14:08 Aug 06, 2019  |  By SabahKini2
Datasonic yakin raih pendapatan lebih tinggi

Pengerusinya, Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali, berkata pada masa ini, kumpulan itu mempunyai kontrak semasa bernilai kira-kira RM772 juta, yang akan memberikan pendapatan dan keuntungan kukuh untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

KUALA LUMPUR: Datasonic Group Bhd yakin meraih pendapatan dan keuntungan yang lebih tinggi pada tahun kewangan 2020, disokong kontrak kerajaan secara berterusan yang diperoleh syarikat itu.

Pengerusinya, Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali, berkata pada masa ini, kumpulan itu mempunyai kontrak semasa bernilai kira-kira RM772 juta, yang akan memberikan pendapatan dan keuntungan kukuh untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

"Kami yakin perolehan dan keuntungan selepas cukai tahun kewangan 2020 akan positif, berikutan sambungan semula pesanan untuk MyKad, dan peluang perniagaan baharu yang dijalankan kumpulan, terutamanya melalui produk terbukti kami seperti Datasonic Autogates (eGates), Penyelesaian Identiti Digital dan dokumen pengenalan yang mematuhi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) rasmi (pasport)," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, syarikat dapat proses mengemukakan cadangan untuk membantunya menyediakan penyelesaian bertaraf dunia bagi sistem pasport, sistem penguatkuasaan, visa, sistem pas dan permit, sistem pekerja asing dan sistem kawalan sempadan, sebelum pertengahan Ogos 2019.

"Syarikat juga memperoleh kontrak selama dua tahun untuk perkhidmatan penyelenggaraan 56 pusat personalisasi kad di Jabatan Pendaftaran Negara bernilai RM28.78 juta.

Mohamed Hashim berkata, Julai lalu Datasonic membantu Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia memasang Datasonic eGates bagi melengkapi pihak berkuasa imigresen Arab Saudi dengan penyelesaian inovatif bagi mempercepatkan prapelepasan imigresen jemaah Haji yang berlepas ke Makkah dan Madinah.

Beliau berkata, setakat ini Datasonic memasang 20 eGates di KLIA, dan menerima maklum balas positif daripada pelancong Malaysia.

Ia turut membekalkan pemasangan eGates pertama di Batam pada pertengahan Julai 2019.

Bagi tahun kewangan 2019 berakhir 31 Mac 2019, keuntungan bersih kumpulan itu berkurangan sebanyak 45.7 peratus kepada RM36.53 juta yang diraih daripada pendapatan berjumlah RM219.59 juta, berbanding untung bersih RM67.24 juta dan perolehan RM258.60 juta pada tahun kewangan sebelumnya- BH

Comment