Jangan sampai rakyat mati bukan sebab Covid-19 tetapi kerana kelaparan kata Anifah
13:04 Apr 07, 2020  |  By SabahKini2
Jangan sampai rakyat mati bukan sebab Covid-19 tetapi kerana kelaparan kata Anifah

Kerajaan Persekutuan membenarkan operasi sektor pertanian, perikanan dan berkaitan rantai makanan. Oleh itu beri kebenaran operasi kilang serta ladang kelapa sawit demi kesejahteraan rakyat Sabah.

Kenyataan Akhbar YBhg Dato’ Sri Anifah Haji Aman, Bekas Menteri Luar Negeri dan Bekas Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Mengenai Keputusan Kerajaan Negeri Sabah Untuk Melanjutkan Penutupan Operasi Ladang Kelapa Sawit dan Kilang Kelapa Sawit Selaras Dengan Tempoh Perintah Pergerakan (PKP) Sehingga 14 April 2020 di Sabah

Sebagai Bekas Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi saya terpanggil untuk memberikan pendapat mengenai keputusan Kerajaan Negeri Sabah untuk melanjutkan penutupan operasi  ladang kelapa sawit dan kilang kelapa sawit selaras dengan tempoh Perintah Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020.

Saya faham akan keadaan dimana Kerajaan Negeri perlu bertindak sewajarnya demi keselamatan dan kesihatan rakyat terutama sekali rakyat di Negeri Sabah. Namun begitu keselamatan tanpa kesejahteraan rakyat juga akan mengundang masalah.

Kesihatan memberi makna seseorang itu bebas penyakit, tetapi kesejahteraan membawa maksud seseorang mengambil langkah pencegahan supaya dirinya tidak berada dalam tekanan yang boleh menyumbang kepada penyakit. Misalnya, apabila berhadapan dengan masalah kewangan mahupun kerjaya, masalah itu boleh memberi kesan kepada emosi. Apabila emosi terganggu, kehidupan akan terganggu dan memberi kesan secara peribadi kepada diri, sekali gus mewujudkan tekanan dalam diri.

Ini boleh berlaku apabila rakyat kehilangan pekerjaan sekaligus sumber rezeki mereka apabila para majikan tidak dapat membayar gaji mereka disebabkan keadaan ekonomi semasa dimana mereka tidak dibenarkan beroperasi untuk penghasilan produk seperti minyak masak sebagai contohnya. Ini bukan sahaja boleh mengakibatkan para majikan tidak mampu bayar pekerja malah sumber makanan asas seperti minyak masak hasil daripada ladang dan kilang kelapa sawit juga akan berkurangan. Besar kemungkinan kadar jenayah juga bakal meningkat sekiranya keadaan ekonomi terus merundum dan rakyat hilang sumber pendapatan.

Kerajaan Persekutuan telahpun mengambil maklum perkara ini dan telah mengeluarkan kenyataan bagi membenarkan aktiviti-aktiviti dan operasi yang berkaitan dengan pertanian dan perikanan beroperasi semasa PKP sedang berlangsung dan tidak akan disekat oleh pihak yang berkuasa. Ini termasuklah kenderaan pengangkutan pertanian serta penjualan produk pertanian. Ini adalah kerana Kerajaan Persekutuan faham akan keperluan semasa yang perlu dihasilkan.

Tidak salah membenarkan aktiviti-aktiviti yang terlibat dalam perusahaan keperluan asas meneruskan operasi tapi dengan mematuhi peraturan-peraturan pencegahan wabak Covid19 seperti mengamalkan jarak social, memakai alat-alat pencegahan Covid19 dan sebagainya. Ini dapat membantu bukan sahaja memenuhi keperluan asas rakyat tetapi menyumbang kepada ekonomi kita yang sememangnya terkesan akibat wabak Covid19 ini.

Kerajaan Negeri Sabah seharusnya mempertimbangkan semua aspek termasuklah ekonomi sebelum membuat sesuatu keputusan. Salah satu sumber pendapatan Kerajaan Negeri Sabah adalah melalui sektor kelapa sawit yang membawa lebih kurang 1 Billion dari pendapatan cukai Kerajaan Negeri Sabah.

Jangan nanti apabila sektor ini tidak lagi dapat menyumbang Kerajaan Negeri Sabah akan menggunakan alasan tiada duit bagi mengurangkan bantuan rakyat sedangkan masih ada jalan yang dapat dilaksanakan yang sedikit sebanyak dapat membantu keadaan ekonomi Negeri Sabah. Kita bukan menyuruh Kerajaan Negeri mengabaikan keselamatan da kesihatan rakyat tapi masih ada jalan dimana sektor perindustrian keperluan asas boleh beroperasi tapi dengan mengikuti langkah-langkah pencegahan Covid19 yang telah disarankan oleh Kerajaan Persekutuan.

Justeru itu, Saya ingin menyeru pihak Kerajaan Negeri Sabah mempertimbangkan semula keputusan lanjutan penutupan operasi kilang serta ladang kelapa sawit demi kesejahteraan rakyat Sabah.

Pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Diraja Malaysia juga seharusnya mengambil maklum berkenaan arahan Kerajaan Persekutuan dalam perkara ini memandangkan kedua-duanya adalah dibawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Jangan sampai rakyat mati bukan sahaja disebabkan oleh covid 19 tetapi kerana kelaparan.

11 Comments