Shafie gelar 'bantuan kerajaan satu budaya' menghina rakyat susah- Raime Unggi
18:04 Apr 20, 2020  |  By SabahKini2
Shafie gelar  'bantuan kerajaan satu budaya' menghina rakyat susah- Raime Unggi

Pada waktu bencana ini, kerajaan negeri tidak seharusnya seolah-olah seperti menyalahkan rakyat dan mencari pelbagai alasan daripada membantu mengurangkan beban yang terpaksa dihadapi oleh mereka ketika ini.

Tidak ada rakyat Sabah yang terdesak mahukan bantuan jika bukan kerana keadaan semasa yang menimpa negara seperti wabak penyakit Covid-19.

Rakyat pun bekerja dan tahu mencari makan untuk menyara diri dan keluarga tetapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlanjutan menyebabkan rakyat tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa duduk di rumah hingga keadaan negara dan rakyat selamat.

Siapa pun kerajaan pintu belakang, wujud dari pemimpin yang melompat parti dan sebagainya, Kerajaan Negeri perlu membantu rakyat tanpa mempersoalkan latar belakang atau kesusahan yang terpaksa dihadapi oleh mereka jika benar-benar ingin membantu rakyat.

Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan sebanyak RM130 juta yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) kepada semua negeri bagi menghadapi krisis ini.

Pada waktu bencana ini, kerajaan negeri tidak seharusnya seolah-olah seperti menyalahkan rakyat dan mencari pelbagai alasan daripada membantu mengurangkan beban yang terpaksa dihadapi oleh mereka ketika ini.

[ARTIKEL BERKAITAN-  COVID-19, rakyat tidak boleh terlalu bergantung bantuan kerajaan kata Shafie ]

Saya telah mendengar banyak keluhan dan masalah dengan bantuan-bantuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sabah berbanding bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada rakyat.

Saya menggesa Kerajaan Negeri permudahkan pelaksanaan segala bantuan-bantuan yang telah diumumkan kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

Kita tidak pernah melalui saat sukar seperti ini, justeru Kerajaan Negeri sepatutnya melindungi dan membela nasib rakyat yang tertekan bukannya memutuskan bantuan kepada mereka dengan alasan melabelkan budaya terlalu bergantung kepada bantuan tidak sepatutnya wujud di kalangan rakyat.

Alasan keras yang dilemparkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal hingga menggelarkan 'bantuan satu budaya' ini amatlah mendukacitakan dan sudah pasti mengguris hati rakyat susah di luar sana yang benar-benar memerlukan bantuan di kala ancaman wabak Covid-19 ini masih lagi berlaku dan PKP masih lagi dilaksanakan.

Jadi saya meminta Kerajaan Negeri Sabah di bawah Parti Warisan/UPKO atau mana-mana kerajaan waima kerajaan pintu belakang sekalipun, jangan memandang rendah rakyat hingga tergamak mengeluarkan kenyataan seolah menghina rakyat yang memohon bantuan kerana adalah menjadi kewajipan kerajaan untuk membantu rakyat.

 

YBHG DATUK HAJI RAIME UNGGI
KETUA PENERANGAN UMNO SABAH
MERANGKAP
KETUA UMNO BAHAGIAN TENOM

44 Comments