Ketua Menteri pulih dari Covid-19, dibenar keluar wad
12:10 Oct 18, 2020  |  By SabahKini2
Ketua Menteri pulih dari Covid-19, dibenar keluar wad

Hajiji menyampaikan penghargaan kepada seluruh kakitangan peringkat atasan sehingga akar umbi di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang terlibat merawat beliau dan isteri.

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sudah dibenarkan keluar dari wad Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu pagi tadi selepas disahkan pulih daripada jangkitan koronavirus (Covid-19).

Turut dibenarkan keluar dari hospital, isterinya Datin Seri Julia Salag.

Beliau dalam kenyataan medianya berkata, beliau bimbang dengan peningkatan jumlah kes Covid-19 di Sabah.

Sehubungan itu menurutnya, kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya untuk membendung penularan wabak itu.

"Yang penting ialah rakyat mesti berdisiplin, bekerjasama dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan", katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyampaikan penghargaan kepada seluruh kakitangan peringkat atasan sehingga akar umbi di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang terlibat merawat beliau dan isteri.

Ini termasuk Pengarah JKNS, Datuk Dr Christina Rundi, Pengarah Hospital QEH 1, Dr William Gotulis, Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Dr Lee Heng Gee, doktor pakar dan semua jururawat di hospital itu.

Hajiji turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua khususnya mereka yang sentiasa berdoa untuk kesembuhan dan kesihatan beliau dan juga petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus mengorbankan masa dan tenaga dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Pada 9 Oktober lalu melalui satu kenyataan media, Hajiji disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian Covid-19 dan beliau kemudian dimasukkan ke HQE untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sepanjang menjalani rawatan, beliau difahamkan terus melaksanakan tugas sebagai Ketua Menteri melalui panggilan telefon dan sidang video manakala kerajaan negeri berfungsi seperti biasa.

6 Comments