Covid-19: Kerajaan Sabah terus bantu rakyat 62,002 bakul makanan diagihkan
04:10 Oct 21, 2020  |  By SabahKini2
Covid-19: Kerajaan Sabah terus bantu rakyat 62,002 bakul makanan diagihkan

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya berkata, golongan sasar itu membabitkan penduduk di kawasan PKPD dan yang diperintahkan menjalani kuarantin di rumah oleh KKM

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus mempergiat usaha mengagihkan bekalan makanan kepada golongan sasar yang memerlukan dan terkesan akibat penularan Covid-19 supaya mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya berkata, golongan sasar itu membabitkan penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan yang diperintahkan menjalani kuarantin di rumah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Agihan bakul makanan juga akan dibuat di semua daerah yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun keutamaan kepada keluarga daripada golongan sasar itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Agihan Bakul Makanan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sini, hari ini.

Sehingga semalam, sebanyak 62,002 bakul makanan diagihkan kepada golongan sasar di seluruh negeri ini.- BERNAMA

1 Comment