6,653 ujian tunggu keputusan, 1236 kes warga asing positif libatkan 8 koloni setinggan di Semporna, Kota Kinabalu
07:10 Oct 23, 2020  |  By SabahKini2
6,653 ujian tunggu keputusan, 1236 kes warga asing positif libatkan 8 koloni setinggan di Semporna, Kota Kinabalu

13.3 peratus kes positif COVID-19 adalah warga asing termasuk PTI. 27 daripada 35 kluster dan 8 koloni Setinggan. Terdapat 6,653 ujian tertunggak bakal diketahui keputusannya

Sedutan Sidang Media DPS Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Jumlah sebenar kes harian COVID-19 di negeri ini hanya akan diketahui selepas 6,653 ujian tertunggak diketahui keputusannya, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Negeri Sabah bagi COVID-19 berkata jumlah diumumkan setakat ini tidak menggambarkan jumlah kes harian yang tepat kerana ia adalah campuran bagi kes harian sebenar dan kes daripada ujian tertunggak yang didapati positif.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah berkata tiada tarikh ditetapkan untuk menyelesaikan ujian tertunggak itu dan pihaknya berharap ia dapat diselesaikan dengan kadar segera.

"Mudah-mudahan bila dapat selesaikan kes tertunggak ini kami dapat angka lebih realistik dan suatu cerminan tepat kes Sabah...kami harap diselesaikan segera, tiga hospital swasta dilantik untuk bantu dan ia (ujian) dihantar terus ke Kuala Lumpur untuk proses," katanya pada sidang media di sini Khamis malam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata Sabah kekal mencatat kes tertinggi COVID-19 pada Khamis dengan 578 kes daripada keseluruhan 847 kes seluruh negara.

Sementara itu, ditanya tentang kejadian seorang wanita berusia 63 tahun yang disahkan positif COVID-19 ditemukan mati setelah dipercayai terjun dari tingkat lapan bangunan Hospital Queen Elizabeth I di sini malam tadi, Masidi berkata siasatan tentang kes itu masih dijalankan.

"Pihak polis masih siasat punca sebenar kes ini, setakat yang kami tahu mendiang betul dimasukkan (ke hospital) akibat COVID-19 tetapi discaj hari ini (Khamis, setelah disahkan bebas COVID-19) kerana itu polis masih siasat punca kejadian ini," katanya.


Kredit infografik: Sabah Info

Masidi juga memaklumkan 13 peratus kes COVID-19 Sabah adalah daripada warga asing termasuk Pendatang Tanpa Izin (PTI) iaitu 1236 kes positif.

“Ia melibatkan 27 kluster daripada 35 kluster selain koloni setinggan iaitu 5 koloni setinggan di Semporna dan 3 di Kota Kinabalu”.

Dalam pada itu, beliau berkata semua pusat rawatan untuk COVID-19 di negeri ini masih mempunyai jumlah katil yang mencukupi bagi memenuhi keperluan rawatan penyakit itu walaupun katil di hospital kini digunakan pada kadar yang maksimum.

"Selain hospital, kerajaan ada 23 pusat rawatan yang ditempatkan pesakit COVID-19 berisiko rendah tahap satu dan dua, ini sedikit sebanyak memberikan ruang buat hospital merawat pesakit yang lebih serius," katanya.

Masidi berkata setakat ini seramai 13 guru, 27 pelajar dan dua petugas Jabatan Pendidikan Sabah telah dijangkiti COVID-19 dan sedang menjalani rawatan.

"Punca jangkitan guru, pelajar dan petugas ini masih disiasat, buat masa ini punca jangkitan ini kami tidak kesan daripada mana-mana kluster yang dilaporkan," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN- [VIDEO] 22 Oktober: Sidang Media Masidi Manjun menjawab isu pesakit Covid-19 bunuh diri, kluster kepayan dan isu terkini ]

 

4 Comments