Helikopter bersama juruterbang terputus hubungan ditemui selamat di Bidor
10:09 Sep 12, 2022  |  By SabahKini2
Helikopter bersama juruterbang terputus hubungan ditemui selamat di Bidor

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan, Helikopter bersama juruterbang yang terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang semalam ditemui selamat.

BIDOR: Helikopter bersama juruterbang yang terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang semalam ditemui selamat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan perkara berkenaan melalui media sosial Facebooknya sebentar tadi.

"Syukur, saya baru sahaja dimaklumkan oleh CAAM bahawa juruterbang helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur semalam ditemui selamat di lokasi nahas sekitar Bidor jam 8.20 pagi ini.

"Setinggi penghargaan diucapkan kepada pasukan TUDM, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta semua yang terbabit dalam SAR ini," katanya.

Katanya, ketika ini, pasukan penyelamat sedang berusaha untuk membawa juruterbang tersebut ke Hospital Ipoh untuk menerima rawatan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) helikopter yang terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang semalam, dipecahkan kepada dua sektor di Hutan Simpan Chikus dan Kampung Kenangan.

Katanya, operasi disambung semula sejak jam 8 pagi dilakukan di kawasan Hutan Simpan Chikus dan Kampung Kenangan.

"Operasi SAR dilakukan dengan menumpukan pencarian di lima kilometer radius dari titik terakhir helikopter dikesan selepas terputus hubungan daripada Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC).

"Kita akan memberi tumpuan kepada lokasi terakhir juruterbang berkenaan terputus hubungan di sekitar Hutan Simpan Chikus dan Kampung Kenangan," katanya kepada media di Balai Polis Bidor sini, pagi ini.

Wan Azharuddin berkata, keseluruhan sebanyak 10 anggota dan 197 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Jabatan Perhutanan, SMART Team

"Selain itu, operasi pencarian turut disertai unit dron, Pasukan Sukan Udara, Kelab Paramotor Sitiawan. Operasi pencarian turut dibantu satu helikopter daripada unit udara PDRM," katanya.

Semalam, media melaporkan, Sebuah helikopter jenis Eurocopter dan juruterbangnya dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada jam 12.16 tengah hari tadi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata perkara itu dimaklumkan dan disahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) kepadanya.

Sebuah helikopter syarikat swasta yang terbang dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang pada jam 11.37 pagi dengan seorang juruterbang dalam pesawat itu.

Helikopter berkenaan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada jam 12.37 tengah hari tetapi dilaporkan hilang dan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada jam 12.16 tengah hari.- BH

 

7 Comments