TENOM: Seorang warga emas dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun dari Jambatan Binai, Kampung Binai, di sini, petang Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Penolong Penguasa Bomba, Mudi Pangiran berkata, mangsa lelaki berumur 71 tahun itu dilaporkan terjun dari jambatan berkenaan ke dalam sungai, kira-kira jam 3.30 petang.
Katanya, pasukan bomba segera ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat jam 3.39 petang.
“Seramai 11 anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan permukaan sungai menggunakan bot penyelamat.
"Mangsa belum ditemukan dan operasi ditangguhkan pada jam 6.18 petang, operasi SAR akan disambung semula pada Rabu," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.