PPM rampas rokok seludup hampir RM1 juta di rumah atas air
23:04 Apr 07, 2025  |  By SabahKini2
PPM rampas rokok seludup hampir RM1 juta di rumah atas air

Hasil serbuan sepasukan PPM Sandakan, kira-kira jam 9.30 malam itu membawa kepada penemuan 20 kotak dan 10 plastik mengandungi rokok seludup bernilai hampir RM1 juta.

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) menumpaskan aktiviti penjualan rokok seludup dalam serbuan di sebuah rumah atas air yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan rokok tidak bercukai di Batu 3, di sini, semalam.

Hasil serbuan sepasukan PPM Sandakan, kira-kira jam 9.30 malam itu membawa kepada penemuan 20 kotak dan 10 plastik mengandungi rokok seludup bernilai hampir RM1 juta.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, serbuan itu dijalankan susulan maklumat serta risikan diterima pihaknya.

"Hasil serbuan ke atas sebuah rumah di perkampungan atas air menemui 20 kotak dan 10 plastik warna hitam mengandungi rokok pelbagai jenama tidak bercukai.

"Rumah berkenaan dipercayai dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup sebelum di pasaran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan rokok seludup berjumlah RM943,902.

"Barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1968," katanya.

Comment