KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merekodkan 87 kes membabitkan tangkapan 321 individu dan rampasan mencecah RM4.809 juta menerusi Op Khas Pagar Laut 1/2025.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, data itu menunjukkan kejayaan pelaksanaan operasi berkenaan yang dijalankan di seluruh kawasan perairan negara bermula 10 Mac dan berakhir 16 April.
“Operasi ini membabitkan empat fasa, bermula daripada pengumpulan maklumat dan kesiapsiagaan aset, penguatkuasaan pra dan pasca Aidilfitri sehinggalah ke sesi penilaian selepas operasi.
"87 kes tangkapan berkenaan membabitkan penahanan 321 individu dengan 13 warga asing seperti Myanmar, Indonesia, China, Iran, Bangladesh, Vietnam dan lain-lain.
"Berdasarkan kepada tangkapan yang dilakukan, statistik menunjukkan kesalahan tertinggi adalah Akta Perikanan 1985 iaitu 44 kes, diikuti Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (26 kes) dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu 16 kes," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Labuan, di sini.