Empat RUU diluluskan DUN Sabah hari ini
17:04 Apr 17, 2025  |  By SabahKini2
Empat RUU diluluskan DUN Sabah hari ini

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir ketika Enakmen Hutan (Pindaan) 2025 berkata, RUU berkenaan digubal dengan mengadakan beberapa peruntukan khusus.

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan empat Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Enakmen Hutan (Pindaan) 2025, RUU Tanah (Pindaan) 2025, Rang Undang-Undang Enakmen Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2023 (Pindaan) 2025, RUU Baja Pertanian 2025. 

RUU Enakmen Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2023 (Pindaan) 2025 dan RUU Baja Pertanian 2025 diluluskan oleh Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya manakala, RUU Enakmen Hutan (Pindaan) 2025 dan RUU Tanah (Pindaan) 2025 diluluskan oleh Timbalan Speaker Datuk Al-Hambra Juhar. 

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir ketika Enakmen Hutan (Pindaan) 2025 berkata, RUU berkenaan digubal dengan mengadakan beberapa peruntukan khusus.

Menurutnya, ia termasuk peruntukan untuk mengawal selia aktiviti karbon berasaskan hutan; untuk memberikan kuasa kepada Ketua Konservator Hutan bagi menutup sebahagian kawasan Hutan Simpan; untuk memberikan kuasa mengenakan bayaran dan pengeluaran permit; dan bagi perkara yang berkaitan dengannya.

Katanya, di peringkat kebangsaan, kerajaan Persekutuan dijangka menggubal satu Akta Perubahan Iklim pada tahun ini. Justeru, bagi memastikan aktiviti perdagangan kredit karbon hutan diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, maka pindaan bagi RUU Enakmen Hutan perlulah diluluskan dengan segera. 

"Sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk kita menggubal undang-undang khusus bagi mengawal selia perdagangan kredit karbon hutan aktviti-aktiviti demi menjaga kepentingan negeri dan kelestarian sumber hutan," katanya.

Beliau turut menjelaskan, karbon dalam pokok (carbon stored in trees) ditakrifkan sebagai hasil hutan (forest produce) melalui pindaan seksyen 2 Enakmen Hutan 1968 pada 2013.

Abidin berkata, sewajarnya, sebarang faedah daripada perdagangan kredit karbon hutan hendaklah memberikan manfaat kepada Sabah. 

Justeru katanya, terdapat keperluan untuk mewujudkan kaedah-kaedah yang tertentu untuk mengawal selia aktiviti karbon hutan termasuk perdagangan di peringkat antarabangsa, bagi memastikan hak Sabah terus terpelihara.

"Melalui pindaan ini, Aktiviti Karbon Berasaskan Hutan (Forest Carbon Activity) dalam kawasan Hutan Simpan, tanah kerajaan dan tanah bergeran, akan dilesenkan mengikut terma-terma dan syarat yang dipersetujui serta melindungi kepentingan negeri. 

"Dengan adanya perundangan mengenai Aktiviti Karbon Hutan, mana-mana peruntukan, dana dan pendapatan yang diperoleh daripada inisiatif ini akan disalurkan terus kepada negeri," katanya. 

RUU Tanah (Pindaan) 2025 dibentangkan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan dibahaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Seri Yong Teck Lee dan ADUN Bugaya Jamil Hamzah.

Nizam dalam ucapannya berkata, pada masa ini, tidak ada undang-undang yang memperuntukkan mengenai penyerahan sebahagian tanah secara sukarela oleh pemilik tanah kepada kerajaan.

Menurutnya, keadaan itu menyukarkan pemilik tanah sekiranya berhasrat hendak menyerahkan sebahagian daripada kawasan tanah bergeran kepada kerajaan.

"Justeru, peruntukan undang-undang yang jelas perlu diwujudkan bagi membolehkan kerajaan menerima penyerahan sebahagian tanah secara sukarela.

"Dengan adanya peruntukan ini, pemilik tanah boleh menyerahkan sebahagian tanah milik mereka dan kerajaan boleh menerima penyerahan itu tanpa membayar sebarang pampasan," katanya.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam membentangkan RUU Enakmen Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2023 (Pindaan) 2025 berkata, pindaan bagi RUU berkenaan melibatkan empat fasal keseluruhannya.

Beliau berkata, antara fasal berkenaan termasuk meminda Seksyen 2 enakmen untuk mengecualikan badan atau agensi di bawah kawalan kementerian daripada peruntukan enakmen.

"Menteri juga mempunyai kuasa bagi mengecualikan mana-mana badan atau agensi lain yang ditubuhkan dan diperbadankan mengikut statut dan di bawah kawalan kerajaan atau kerajaan Malaysia daripada mana-mana atau semua peruntukan enakmen, dan pengecualian itu boleh dibuat tertakluk kepada apa-apa had, sekatan atau syarat," jelasnya. 

Sementara itu, RUU Baja Pertanian 2025 dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.

Menurutnya, RUU itu bertujuan mengawal selia pengeluaran, pengedaran dan penggunaan baja di Sabah bagi memastikan hanya baja yang memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Katanya, ia melibatkan aspek kualiti, formulasi serta keselamatan dan kelestarian alam sekitar digunakan.

"Ia juga bertujuan melindungi pengguna daripada baja tiruan yang boleh merugikan petani. Industri baja tempatan juga akan mendapat manfaat melalui kawal selia yang lebih baik," jelasnya.

Comment