SMJ Energy catat peningkatan keuntungan kepada RM362 juta pada tahun ini
16:04 Apr 22, 2025  |  By SabahKini2
SMJ Energy catat peningkatan keuntungan kepada RM362 juta pada tahun ini

Menteri Kewangan Sabah merangkap Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Masidi Manjun, mengaitkan pencapaian itu dengan dedikasi pasukan profesional yang bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan utama, termasuk PETRONAS.

KOTA KINABALU: SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy) mengumumkan keputusan kewangan tidak diaudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM362 juta berbanding RM259 juta pada tahun 2023, iaitu peningkatan keuntungan hampir 40 peratus.

Keputusan itu menunjukkan prestasi kukuh syarikat walaupun pasaran tenaga global tidak menentu.

Ia didorong oleh pengoptimuman aset yang strategik, pengurusan kos yang berdisiplin, serta pertumbuhan hasil yang memberangsangkan.

Pendapatan SMJ Energy meningkat dari tahun ke tahun, didorong oleh sumbangan kukuh daripada aset utama seperti Samarang Production Sharing Contract (PSC), loji pencairan LNG Train 9, Petronas Chemical Fertilizer Sabah Sdn Bhd (PCFSSB), serta operasi Floating Production & Storage (FPSO) dan Floating Storage Operation (FSO) milik Sabah International Petroleum (SIP) yang bebas hutang.

Menteri Kewangan Sabah merangkap Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Masidi Manjun, mengaitkan pencapaian itu dengan dedikasi pasukan profesional yang bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan utama, termasuk PETRONAS.

Dengan portfolio yang seimbang meliputi sektor Huluan (Upstream), LNG, Petrokimia (Petchem), dan FPSO/FSO, kewangan SMJ Energy dijangka kekal kukuh walaupun dalam senario harga minyak yang rendah.

Namun begitu, beliau menasihati agar terus berwaspada terhadap persekitaran luaran, khususnya perang tarif global yang berterusan dan ketidakstabilan harga minyak.

“Ketidaktentuan dalam pasaran minyak global menyerlahkan kepentingan pengurusan risiko yang proaktif dan strategi pelaburan yang berhemah,” katanya.

Selain membina perniagaan minyak dan gas yang menguntungkan, SMJ Energy juga giat menyokong usaha ke arah meningkatkan kandungan tempatan dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) di Sabah tanpa menjejaskan kos, keselamatan, kualiti dan jadual kerja.

Jumlah nilai kerja yang dianugerahkan kepada syarikat-syarikat Sabah telah mencecah RM2 bilion tahun lalu berbanding RM613 juta pada tahun 2021.

Comment