Rumah kedai musnah terbakar, warga emas melecur di badan
15:04 Apr 23, 2025  |  By SabahKini2
Rumah kedai musnah terbakar, warga emas melecur di badan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba Ishak Jabas berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.10 petang itu jga memusnahkan sebanyak tiga buah kereta dan sebuah motosikal.

BEAUFORT: Seorang lelaki warga emas melecur di badan ketika cuba menyelamatkan diri bersama keluarganya dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Kampung Suasa, di sini petang Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba Ishak Jabas berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.10 petang itu jga memusnahkan sebanyak tiga buah kereta dan sebuah motosikal manakala sebuah lagi motosikal rosak kira-kira 10 peratus akibat kebakaran berkenaan.

Katanya, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan dan tiba pada jam 3.47 petang.

“Sebaik tiba, kami mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai persendirian jenis separuh kekal sedang terbakar.

“Seorang lelaki berusia 61 tahun melecur di beberapa bahagian badan ketika cuba menyelamatkan diri dan keluarganya. 

“Mangsa dihantar ke klinik berhampiran oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan ambulans,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurut beliau, pasukan bomba melakukan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dan dua pancutan, dengan sumber air daripada jentera dan parit berhampiran.

“Turut musnah dalam kebakaran ialah dua kenderaan sedan, van dan sebuah motosikal, manakala sebuah lagi motosikal terbakar sebanyak 10 peratus,” katanya.

Tambahnya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.06 petang dan pasukan bomba menjalankan pemeriksaan lanjut di lokasi bagi memastikan tiada sebarang risiko bahaya yang masih wujud.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Comment