Sabah laksana banyak inisiatif untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat
00:04 Apr 29, 2025  |  By SabahKini2
Sabah laksana banyak inisiatif untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dakwaan pihak pembangkang kononnya kerajaan GRS-PH Plus tidak membawa apa-apa pembangunan di negeri ini, adalah tidak betul.

SOOK: Kerajaan negeri yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Plus bukan hanya merancang malah, melaksanakan banyak inisiatif pembangunan dalam aspek ekonomi juga untuk kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dakwaan pihak pembangkang kononnya kerajaan GRS-PH Plus tidak membawa apa-apa pembangunan di negeri ini, adalah tidak betul.

"Itu adalah dakyah mereka yang sentiasa mahu menafikan setiap kejayaan yang dibawa oleh kerajaan. Namun kita tidak berdiam diri, sebaliknya terus bekerja untuk pembangunan negeri dan rakyat.

"Pelbagai inisiatif bantuan diberi kepada rakyat khususnya kepada anak-anak dalam kalangan keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

"Antara bantuan itu ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Tunai Khas Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) selain bantuan subsidi tiket penerbangan pelajar Sabah (GRS-SUBFLY) sebanyak RM600 kepada pelajar yang belajar di Semenanjung dan Sarawak, serta Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) sebanyak RM300," katanya. 

Beliau berkata, bantuan berkenaan adalah sebahagian daripada 13 inisiatif dalam Bantuan Pendidikan Kerajaan Negeri kepada para pelajar yang layak di negeri ini.

Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Naik Taraf Daerah Penuh Sook di Perkarangan Bangunan Urusetia Daerah Sook di sini hari ini.

Menurutnya, inisiatif lain yang turut diberi kepada rakyat kurang berkemampuan pada tahun ini termasuklah pembinaan sebanyak 3,000 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan melibatkan kos sebanyak RM250 juta. 

Katanya, bantuan terbaharu yang diberikan kerajaan negeri mulai tahun ini ialah Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 penerima di Sabah, khususnya Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar layak menerima bantuan tunai RM300 sebulan sehingga akhir tahun.

Menyentuh isu bekalan air, elektrik dan jalan raya yang sering dijadikan bahan oleh pembangkang, beliau berkata, kerajaan menerima masalah yang diwarisi, namun sentiasa berusaha untuk menangani dan menyelesaikan masalah berkenaan.

Justeru katanya, sebanyak 13 projek pembangunan bekalan air berimpak tinggi telah dan sedang dilaksanakan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi.

Tambahnya, antara projek tu ialah Skim Bekalan Air Tawau Fasa 3, Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kundasang, Pembinaan LRA Baru Semporna, Skim Bekalan Air di Lahad Datu Fasa 1 dan Penambahan Kapasiti LRA Telibong II. 

"Sementara itu, projek penambahan kapasiti LRA Kogopon Fasa Dua di Papar, melibatkan kerja-kerja menaik taraf kapasiti daripada 40 juta liter sehari (JLH) kepada 80 JLH, yang dijangka siap pada 2026," katanya.

Mengenai masalah bekalan elektrik, Hajiji berkata, pelbagai usaha dibuat termasuk melaksanakan Projek Hidroelektrik Ulu Padas yang bakal menjana tenaga elektrik sebanyak 187.5 megawatt (MW).

Katanya, Majlis Tenaga Sabah juga meluluskan hampir 1,000 MW tenaga elektrik yang akan dijana melalui beberapa projek penjanaan elektrik bagi meningkatkan keperluan tenaga di negeri ini.

Menurutnya, projek berkenaan bukan saja untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah, tetapi ia adalah antara usaha penyelesaian jangka panjang yang mampan kepada negeri ini.

Baru-baru ini beliau turut dimaklumkan sebanyak empat daripada 16 pakej Fasa 1A Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah disiapkan dan baki 12 pakej lagi sedang dalam pembinaan, dengan wstatus kemajuan sebanyak 81.7 peratus siap. 

"Semua ini adalah antara inisiatif-inisiatif yang telah dan sedang kita laksanakan. Apa yang kita bawa ini tidak pernah dibuat sebelum ini.

"Lebih banyak lagi pembangunan yang akan dibawa ke negeri ini untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat jika kita diberi mandat lagi.

"Bagi daerah Sook, beberapa projek pembangunan kini giat dijalankan termasuklah dua projek pembinaan jalan raya berturap iaitu Jalan Sinaron, Sook ke Jalan Linayukan, Tongod sepanjang 40 kilometer (km) serta Jalan Rancangan Belia Tiulon, Sook sepanjang 22.85km yang masing-masing bernilai RM320 juta dan RM127 juta kini dalam pelaksanaan. 

Beliau berkata, dengan adanya jalan berturap ini, ia akan menjimatkan masa dan kos perjalanan selain mampu menjana pertumbuhan ekonomi tempatan. 

Menyentuh aspek pembangunan pendidikan katanya, sebanyak empat sekolah kini dalam pembinaan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ambual, SK Rancangan Belia Tiulon, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalit serta SMK Trusmadi yang hampir siap sepenuhnya. 

Manakala, projek menaik taraf klinik kesihatan serta projek Pembinaan Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Sabah Electricity sudah siap pada tahun lalu. 

"Ini membabitkan Klinik Kesihatan Sook yang bernilai hampir RM1 juta serta Klinik Desa Karamatoi dan Klinik Desa Marapok yang masing-masing bernilai RM600,000. 

"Selain itu, seramai 120 penduduk menerima manfaat Rumah Mesra SMJ dari 2022 sehingga 2024 yang bernilai hampir RM9.6 juta di Sook.

"Pada tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM6.4 juta untuk membina 80 rumah SMJ di daerah Sook," jelasnya.

Hajiji berkata, banyak lagi pembangunan akan dibawa ke Sook pada masa akan datang yang akan memberi manfaat kepada rakyat di daerah ini seperti pembinaan kompleks sukan, hospital daerah Sook, membina balai polis daerah dan menambah keluasan kawasan klinik kesihatan Sook.

Menurutnya, setiap pembangunan yang dibawa adalah lambang kesungguhan kerajaan negeri hari ini untuk membela nasib rakyat dan membawa Sabah ke arah pembangunan yang lebih maju, tersusun dan saksama.

Sempena majlis itu beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk membina Dewan Terbuka Daerah Sook dan menaik taraf Bangunan Urusetia Daerah Sook.

Comment