KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah telah mencatat pertumbuhan yang menggalakkan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) apabila meningkat daripada RM82.1 bilion pada 2023 kepada RM83.2 bilion pada 2024.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peningkatan itu menunjukkan momentum berterusan dan perkembangan positif di Sabah.
Katanya, ia selari dengan KDNK nasional yang dijangka meningkat sebanyak 2.5 peratus melalui Rangka Kerja Ekonomi Madani yang melihat penyusunan semula ekonomi Malaysia di bawah Belanjawan Nasional 2025.
Mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTNg) di Menara Kinabalu, hari ini. Ketua Menteri berkata, pencapaian itu adalah hasil kerjasama dari pelbagai pihak di negeri ini.
"Jika kita terus menyumbang tenaga kita secara positif melalui kerjasama yang erat, tidak mustahil untuk melaksanakan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya kita dengan jayanya," katanya.
Beliau menggesa agensi-agensi berkaitan untuk memastikan semua inisiatif dan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dilaksanakan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kehidupan rakyat.
Hajiji berkata, dibawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan negeri telah merangka Hala Tuju Pembangunan Strategik Negeri sebagai satu langkah proaktif untuk mamacu ekonomi dan pembangunan negeri Sabah bermula dari 2026 sehingga 2030.
"Ia juga merupakan kerangka awal yang mengambil kira keperluan Dasar, Blueprint dan Pelan Pembangunan semasa. Pelbagai inisiatif akan diwujudkan merangkumi penerokaan inisiatif Ekonomi Biru selain setiap agenda pembangunan negeri di bawah RMK13," katanya.
Menurutnya, walaupun terdapat pelbagai kejayaan melalui inisiatif Hala Tuju SMJ dan angka positif dari semua data yang dikeluarkan setakat ini, Hajiji berkata, kerajaan negeri tidak boleh berehat dan menjadi selesa.
"Kita mesti terus bekerja keras dan lebih proaktif. Semua kepimpinan negeri, ketua jabatan dan ketua peringkat daerah mesti lebih kerap turun padang untuk memantau pelaksanaan program atau projek yang sedang berjalan.
"Ini penting untuk memastikan setiap program dilaksanakan dengan baik dan menyeluruh.
"Tahun ini 1,265 projek dan program mesti diselesaikan di Sabah. Semua agensi pelaksana mesti sentiasa memantau kemajuan projek-projek ini dan memastikan ia diselesaikan mengikut jadual," katanya.
Menurutnya, Sabah adalah antara penerima tertinggi dalam bajet nasional, dengan RM6.7 bilion diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan tahun ini.
"Ini membuktikan bahawa suara rakyat dan pemimpin Sabah didengari di peringkat persekutuan. Ia juga menunjukkan bahawa kami sangat serius dan akan berusaha untuk meningkatkan pembangunan negeri.
"Kita mesti melakukan perubahan paradigma untuk memastikan kejayaan semua rancangan kita.
"Kita perlu menanggalkan proses yang usang dan mengubah sikap yang memberi tumpuan kepada negatif tanpa menilai atau mengiktiraf kejayaan atau sumbangan yang dibuat kepada negeri," katanya.