Hajiji seru belia Sabah main peranan penting dalam pembangunan negeri dan jayakan matlamat SMJ
16:04 Apr 30, 2025  |  By SabahKini2
Hajiji seru belia Sabah main peranan penting dalam pembangunan negeri dan jayakan matlamat SMJ

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah kini berada di ambang satu fasa transformasi besar dalam pelbagai sektor dan memerlukan tenaga, idea serta semangat luar biasa daripada generasi muda demi menjayakan matlamat SMJ.

KOTA KINABALU: Golongan belia dan anak muda di Sabah diseru agar terus memainkan peranan penting sebagai agen perubahan dalam memastikan negeri ini terus maju dan mencapai kecemerlangan setanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah kini berada di ambang satu fasa transformasi besar dalam pelbagai sektor dan memerlukan tenaga, idea serta semangat luar biasa daripada generasi muda demi menjayakan matlamat Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Untuk mencapai matlamat SMJ, kita memerlukan tenaga, idea dan semangat daripada golongan muda. Saya berharap agar anak-anak muda terus memberi sokongan penuh kepada agenda kerajaan dalam memastikan Sabah menjadi negeri yang maju, sejahtera, dan berdaya saing,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan, Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, sempena Majlis Perasmian Program Perintis Muda Di Hati Ketua Menteri yang diadakan bersempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Tahun 2025 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Al-Bukhari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah.

Hajiji berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan besar terhadap pembangunan modal insan dalam pelan Hala Tuju SMJ 1.0, dengan komitmen menjadikan belia sebagai aset strategik yang kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti.

“Kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan, tahun ini sahaja, sejumlah RM75.5 juta diperuntukkan untuk melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA), Subsidi Tiket Penerbangan (GRS-SUBFLY) dan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK).

“Dana Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) juga ditingkatkan daripada RM51 juta kepada RM128 juta, bagi memastikan lebih ramai pelajar Sabah mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi tanpa kekangan kewangan.

“Kita mahu melahirkan generasi belia yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing, bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi juga di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Melalui Program Perintis Muda Di Hati Ketua Menteri, belia diberikan latihan kepimpinan dan diberi pendedahan dalam pengurusan komuniti agar mereka menjadi pemangkin kepada perubahan sosial dan ekonomi di kawasan masing-masing.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan belia yang menyeluruh juga perlu menekankan usaha membanteras penyalahgunaan dadah yang memberi kesan negatif kepada generasi muda.

“Program ini yang digerakkan oleh Majlis Belia Sabah (MBS) adalah satu inisiatif strategik untuk memperkasa belia melalui kemahiran kepimpinan, penyelesaian masalah komuniti dan semangat kenegaraan,” katanya.

Hajiji menutup ucapannya dengan menyeru agar semua pihak terus menyokong dan memperkukuh peranan belia sebagai tunjang pembangunan negeri bukan sahaja dari sudut ekonomi, malah dalam pembentukan masyarakat madani dan integrasi sosial di akar umbi.

Comment