15 NGO Sabah terima bantuan kewangan daripada CSR Taman-Taman Sabah
16:05 May 07, 2025  |  By SabahKini2
15 NGO Sabah terima bantuan kewangan daripada CSR Taman-Taman Sabah

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan bantuan berkenaan selepas merasmikan majlis berkenaan. Beliau diiringi oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.

TUARAN: Sebanyak 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini menerima bantuan kewangan berjumlah RM5,000 bagi setiap pertubuhan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS).

Pengerusi TTS Peter Lintar mengumumkan bantuan berkenaan sempena majlis pelancaran Proses Rundingan Pemegang Taruh dan Komuniti Tempatan serta Ekspedisi Saintifik bagi pengembangan Geopark Global UNESCO Kinabalu (KUGGP) dan Rizab Biosfera Banjaran Crocker (CRBR) di sini Sabtu lepas.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan bantuan berkenaan selepas merasmikan majlis berkenaan. Beliau diiringi oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.

Antara NGO yang terlibat termasuk Persatuan Pembangunan Lotud Negeri Sabah, Persatuan Asal Lotud Negeri Sabah, Sekolah Adat Anak Negeri Sabah, Lotud Community Learning Centre, Persatuan Nelayan Daerah Tuaran, Kelab Belia Harapan Daerah Tuaran, dan Kelab Tuaran Athletics.

Turut menerima bantuan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah (SM) St John Tuaran, PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka Tuaran, PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Selupoh Tuaran, PIBG SK Kindu Tuaran, PIBG SK St John Tuaran, Selupoh Masters Athletics Club, Persatuan Belia Buansa Kampung Mengkabong Tuaran, dan Badan Penyelenggara Dewan, Futsal dan Padang Suworoh Selupoh Tuaran.

TTS agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS).

Turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai; Setiausaha Tetap KePKAS Datuk Josie Lai; Pengarah TTS Dr Maklarin Lakim, dan Pegawai Daerah Tuaran Herman Tunggiging.

Comment