Hajiji ucap takziah kepada keluarga Tun Ahmadshah
22:05 May 21, 2025  |  By SabahKini2
Hajiji ucap takziah kepada keluarga Tun Ahmadshah

Sementara itu, sebagai menghormati pemergian Allahyarham, kerajaan negeri mengumumkan tempoh berkabung rasmi selama satu hari, dengan bendera negeri Sabah dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh terbabit.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mantan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah bin Abdullah, yang meninggal dunia di Hospital KPJ di sini pada Selasa.

“Bagi pihak kerajaan Negeri, saya mengucapkan takziah kepada keluarga mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Ahmadshah Abdullah yang meninggal dunia di Hospital KPJ pada Selasa.

“Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan setinggi-tinggi nya atas jasa bakti Tun kepada Negeri dan rakyat. Beliau di kenali sebagai pemimpin yang cukup baik dan amat disenangi oleh semua lapisan rakyat semasa hidup nya.

“Secara peribadi saya kehilangan seorang sahabat yang begitu tinggi budi bahasanya dan seorang yang prihatin kepada rakyat dan negernya. Semoga ALLAH swt mencucuri rahmat kepada roh Allahyarham,” katanya dalam kenyataannya di sini pada Rabu.

Tun Ahmadshah dilahirkan pada 9 Disember 1946 dan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah dari tahun 2003 hingga 2010.

Sebelum itu, Ahmadshah memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum bersara pada Disember 2002. Allahyarham juga pernah memegang jawatan lain antaranya Pengarah Perjawatan Negeri Sabah, Ketua (Bahagian Hal Ehwal Dalaman dan Penyelidikan) Jabatan Ketua Menteri Sabah serta Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah.

Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Inanam, di sini pada 9 Disember 1946 meninggalkan empat anak manakala isterinya, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar meninggal dunia pada 2020.

Sementara itu, sebagai menghormati pemergian Allahyarham, kerajaan negeri mengumumkan tempoh berkabung rasmi selama satu hari, dengan bendera negeri Sabah dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh terbabit.

Pengumuman dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong menerusi satu kenyataan yang turut mengesahkan pemergian Tun Ahmadshah yang dilaporkan meninggal dunia pada jam 8.45 malam tadi.

“Adalah dimaklumkan bahawa Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah bin Abdullah, Mantan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang diPertua Negeri Sabah telah kembali ke rahmatullah pada jam 8.45 malam, hari Selasa iaitu 20 Mei 2025, bersamaan dengan 23 Zulkaedah 1446 Hijrah.

“Kerajaan Negeri mengumumkan tempoh berkabung rasmi selama satu (1) hari dan bendera negeri Sabah dikibarkan separuh tiang selama tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Comment