Simpan 310 kotak minyak masak subsidi dirumah, seorang lelaki ditahan
17:05 May 23, 2025  |  By SabahKini2
Simpan 310 kotak minyak masak subsidi dirumah, seorang lelaki ditahan

Menurutnya, seorang lelaki tempatan turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berhubung pemilikan dan penyimpanan minyak masak berkenaan.

SEMPORNA: Tindakan seorang lelaki warga tempatan menjadikan rumahnya sebagai stor penyimpanan dan pusat penjualan minyak masak bersubsidi secara haram membawa padah selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 PGA Kunak.

Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, operasi bersepadu menerusi Ops Bersepadu Intra/Inter Agensi - Op Taring Bravo 2 yang dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna itu berjaya menemukan 5,270 peket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram yang disembunyikan di sebuah rumah di Kampung Seri Melor.

Katanya, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan yang membawa kepada pembongkaran kegiatan penyelewengan barang kawalan terbabit.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menjumpai sebanyak 310 kotak mengandungi minyak masak bersubsidi dengan jumlah keseluruhan 5,270 peket.

“Turut dirampas sebuah telefon bimbit, satu mangga dan kunci yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan haram ini,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berhubung pemilikan dan penyimpanan minyak masak berkenaan. 

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bekalan itu dipercayai diperoleh daripada individu luar daerah dan suspek menjalankan aktiviti ini sejak awal tahun.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan mencecah RM15,675 dan kes kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kejayaan operasi ini membuktikan ketegasan dan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam mengekang penyelewengan barang kawalan serta menumpaskan rangkaian penyeludupan yang mengancam hak rakyat dan kestabilan ekonomi setempat,” katanya.

Comment