LAHAD DATU: Dua lelaki ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kejadian samun berkumpulan tanpa senjata di Kampung Binuang, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi membabitkan mangsa seorang peniaga lelaki berusia 35 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa diserang suspek bersama seorang rakan sebelum melarikan motosikal milik mangsa.
“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian dada, bahu dan tangan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan laporan polis yang diterima, dua serbuan berasingan dilakukan malam Isnin dan awal pagi semalam, yang membawa kepada penahanan kedua-dua suspek.
“Hasil semakan mendapati, salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan berkaitan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek juga akan dibuat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.