KUDAT: Dua bot nelayan pukat tunda yang dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang tiga batu nautika dari pantai ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), pada Sabtu.
Penahanan bot berkenaan dilakukan susulan maklumat diterima daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah kira-kira jam 6.30 petang dan 7 malam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar, berkata aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan menerusi Op Sejahtera, Op Pluto Timur, Op Cegah PATI dan Op Tiris segera digerakkan ke lokasi.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, dua bot berkenaan dikesan sedang menarik pukat pada jarak kurang tiga batu nautika dari pantai, iaitu kira-kira 2.6 batu nautika timur laut muara Marina di sini.
“Pemeriksaan lanjut ke atas salah sebuah bot mendapati enam kru berada di atasnya, termasuk tekong. Dua daripada mereka warga tempatan manakala empat lagi adalah warga Indonesia.
“Semua kru dan tekong memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sementara itu, beliau berkata satu lagi bot ditahan di lokasi berasingan kira-kira 2.2 batu nautika timur perairan Tagumamal.
“Bot terbabit membawa sembilan kru, termasuk seorang warga Filipina yang didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.
“Secara keseluruhan, Maritim Malaysia merampas lebih 1.5 tan ikan pelbagai jenis serta dua tan ikan baja hasil daripada kedua-dua penahanan,” katanya.
Hasbullah berkata, semua kru, bot dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen penangkapan ikan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen meragukan.
“Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan pemantauan di seluruh perairan negeri ini bagi membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menjejaskan sumber perikanan negara,” katanya.