KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan pembayaran penghantaran kenderaan dan barangan melibatkan jumlah sebanyak RM19,100 pada 2017.
Tertuduh, Nazri Hamburg, 46, Pegawai Perancang Bandar di sebuah jabatan kerajaan di Sabah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 2 Oktober 2017 tertuduh memberikan Pembantu Tadbir (Kewangan) di jabatan berkenaan satu dokumen berupa penyata tuntutan elaun semasa menjalankan tugas rasmi, bertarikh 12 Jun 2017.
Dokumen terbabit mengandungi butiran palsu iaitu bil tuntutan sebuah syarikat pengangkutan bertarikh 12 Mei 2017 bagi perkhidmatan penghantaran kenderaan jenis sedan dan pacuan empat roda ke Papar serta bayaran untuk tiga orang pekerja yang kononnya terlibat dalam kerja-kerja pemindahan dan pengangkutan barang.
Perkhidmatan yang didakwa dalam tuntutan sebanyak RM19,100 itu sebenarnya tidak pernah dilaksanakan.
Berikutan itu, tertuduh dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama.
Sekiranya disabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap dua bulan dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Julai depan.