Keputusan kes bunuh pelajar KVLD ditangguh 23 Julai
16:06 Jun 11, 2025  |  By SabahKini2
Keputusan kes bunuh pelajar KVLD ditangguh 23 Julai

Hari ini sepatutnya prosiding tarikh tentatif untuk keputusan namun dijadualkan semula untuk klarifikasi hujahan pada 23 Julai depan menerusi notis dikeluarkan Mahkamah Tinggi bertarikh semalam.

TAWAU: Keputusan kes membabitkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun yang dituduh membunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD), Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu, ditangguhkan kepada 23 Julai depan.

Hari ini sepatutnya prosiding tarikh tentatif untuk keputusan namun dijadualkan semula untuk klarifikasi hujahan pada 23 Julai depan menerusi notis dikeluarkan Mahkamah Tinggi bertarikh semalam.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif ketika ditemui media berkata, semua pihak sudah memfailkan hujahan balas masing-masing dan pihak pendakwaan sendiri sudah memfailkan hujahan utama setebal 266 muka surat serta hujahan balas terhadap peguam bela.

Pada 15 April lalu, pasukan pembelaan menutup kes mereka selepas memanggil 18 saksi memberi keterangan pada perbicaraan peringkat bela diri.

Semua 13 remaja terbabit memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Kesemua 13 remaja berkenaan dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di bilik asrama kolej berkenaan, pada jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Lapan daripada 13 tertuduh diwakili peguam, Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh serta Chen Wen Jye, manakala lima tertuduh lagi diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo serta Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Comment