Polis tahan warga emas, disyaki pelaku amang seksual remaja
16:06 Jun 11, 2025  |  By SabahKini2
Polis tahan warga emas, disyaki pelaku amang seksual remaja

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau, berkata suspek berusia 62 tahun kemudian melarikan diri sebelum mangsa tampil membuat aduan kepada ibu saudaranya.

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dalam kejadian di kawasan Perumahan Ladang Kunawai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa yang berada di bahagian belakang rumahnya dipercayai telah pengsan sebelum menyedari suspek berada dalam keadaan mencurigakan di atas badannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau, berkata suspek berusia 62 tahun kemudian melarikan diri sebelum mangsa tampil membuat aduan kepada ibu saudaranya.

Katanya, bertindak atas laporan, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah menahan suspek yang dikenali oleh mangsa.

“Pemeriksaan mendapati lelaki terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya hari ini.

Menurutnya, mangsa seterusnya telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan keadilan kepada mangsa serta tindakan undang-undang yang sewajarnya dikenakan terhadap suspek,” katanya.

Comment