Polis tahan lelaki warga asing bersama syabu bernilai RM2,000
17:07 Jul 02, 2025  |  By SabahKini2
Polis tahan lelaki warga asing bersama syabu bernilai RM2,000

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan ketika berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pasukan serbuan memperkenalkan diri dan menjalankan pemeriksaan.

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis bersama syabu seberat 56.87 gram dalam serbuan di Kampung Brantian, Kalabakan, awal pagi semalam.

Suspek berusia lingkungan 38 tahun itu dicekup dalam Ops Gempur Khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau kira-kira jam 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan ketika berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pasukan serbuan memperkenalkan diri dan menjalankan pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan, suspek menyerahkan sebuah beg yang mengandungi 32 paket plastik lutsinar berisi hablur jernih dipercayai syabu dengan berat keseluruhan 56.87 gram.

“Pihak polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dan sebuah telefon bimbit yang digunakan suspek.

“Suspek bersama dadah jenis syabu yang dianggarkan mencecah hampir RM2,000 itu di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap suspek bagaimanapun mendapati dia negatif daripada sebarang pengaruh dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

“Pihak polis masih menjalankan risikan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket pengedaran dadah yang mungkin terbabit dalam kes berkenaan,” katanya.

 Jasmin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan terus menggandakan operasi, risikan serta penguatkuasaan bersama agensi berkaitan dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah terutama di kawasan pedalaman dan bandar.

“Orang ramai digesa tampil menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti berkaitan dadah di kawasan mereka.

“Penyalahgunaan dadah bukan sahaja melanggar undang-undang, malah memusnahkan masa depan individu, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Comment