Bapa Zara Qairina hanya berhubung melalui telefon selepas 2017
21:09 Sep 07, 2026  |  By SabahKini2
Bapa Zara Qairina hanya berhubung melalui telefon selepas 2017

Mahathir Mohd Hashim @ Marikin, 45, berkata selepas itu beliau tidak lagi tinggal bersama Zara Qairina dan ibunya, Noraidah Lamat, susulan perbezaan antara beliau dengan isterinya.

KOTA KINABALU: Bapa Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa kali terakhir beliau bertemu anaknya adalah pada 2017 di Sipitang.

Mahathir Mohd Hashim @ Marikin, 45, berkata selepas itu beliau tidak lagi tinggal bersama Zara Qairina dan ibunya, Noraidah Lamat, susulan perbezaan antara beliau dengan isterinya.

“Kali terakhir saya berjumpa Zara adalah sekitar tahun 2017 di Sipitang,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Mahathir berkata selepas itu beliau hanya berhubung dengan Zara menerusi panggilan telefon dan WhatsApp.

Beliau berkata perkahwinannya dengan Noraidah adalah perkahwinan keduanya dan Zara Qairina merupakan anak hasil perkahwinan berkenaan. Beliau memanggil anaknya “Baby Zara”, manakala Zara memanggilnya “Babah”.

Mahathir berkata beliau mula bekerja di Kota Kinabalu pada pertengahan 2015 dan menyewa sebuah bilik di bandar itu kerana tuntutan pekerjaan.

“Saya masih pulang ke Sipitang untuk berjumpa Zara dan ibunya setiap satu atau dua bulan sekali.

“Saya tidak mampu berulang-alik ke Sipitang setiap minggu kerana kekangan kewangan. Ibunya yang menjaga dan membesarkan Zara sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya, ketika masih tinggal bersama mereka, Zara seorang kanak-kanak yang ceria dan gemar ke pantai.

Katanya, Zara sering memintanya membawanya ke pantai setiap kali beliau pulang ke rumah.

Mahathir turut pernah membawa Zara dan ibunya bercuti di sebuah hotel di Tuaran untuk meluangkan masa bersama.

“Zara juga tidak menunjukkan sebarang tanda atau keadaan yang membimbangkan saya,” katanya.

Mahathir berkata beliau berada di Beaufort ketika menerima mesej WhatsApp daripada Noraidah antara jam 8 pagi hingga 10 pagi pada 16 Julai 2025, memaklumkan Zara berada di unit kecemasan.

Katanya, Noraidah turut menghantar gambar Zara terbaring di atas katil, namun beliau ketika itu tidak tahu di hospital mana anaknya dirawat.

“Saya kemudian memaklumkan perkara itu kepada bapa, Mohd Hashim @ Marikan Tuah, dan memintanya mencari Zara di Hospital Sipitang,” katanya.

Mahathir berkata Hospital Sipitang menjadi lokasi pertama pencarian kerana beliau menyangka Zara masih tinggal bersama ibunya di situ.

Beliau juga menyangka Zara bersekolah di daerah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, beliau pernah ke rumah mereka di Sipitang dan mendapati Zara serta ibunya sudah tidak lagi tinggal di situ.

“Saya pernah beberapa kali bertanya kepada Zara mengenai tempat tinggal dan sekolahnya ketika kami berbual melalui telefon, tetapi Zara tidak memberitahu saya. Disebabkan itu saya menyangka Zara mungkin berada di Hospital Sipitang,” katanya.

Menurut Mahathir, selepas bapanya pergi ke Hospital Sipitang, beliau dimaklumkan Zara tidak berada di situ.

Beliau kemudian cuba mencarinya di Hospital Beaufort tetapi petugas unit kecemasan turut memaklumkan Zara tiada di situ.

“Saya tidak ingat bagaimana saya mengetahui Zara berada di Hospital Queen Elizabeth (HQE), sama ada daripada ibu Zara atau berdasarkan andaian saya sendiri.

“Saya terus bergegas ke HQE selepas mengetahui Zara berada di hospital itu,” katanya.

Zara, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia pada hari berikutnya di HQE.

Comment