SEMPORNA: Pembangunan Sabah perlu dilaksanakan berdasarkan keperluan dan kekuatan setiap daerah, bukan hanya tertumpu di Kota Kinabalu dan bandar-bandar besar, kata Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan potensi setiap daerah dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Menurut Hajiji, pembangunan komersial di Jalan Bubul, Semporna, perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negeri dan bukan sekadar projek perniagaan.
Katanya, Semporna mempunyai aset semula jadi bernilai tinggi yang sudah dikenali di peringkat antarabangsa, khususnya pulau, kejernihan air laut dan aktiviti menyelam.
“Semporna mempunyai aset semula jadi yang sangat bernilai. Namun, untuk memastikan potensi tersebut dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang lebih besar kepada rakyat, kita memerlukan pembangunan yang saling melengkapi,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran 106 unit kedai dua tingkat Fasa 1 serta pecah tanah Projek Komersial Fasa 2 dan 3 Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah di Jalan Bubul, hari ini.
Katanya, sektor pelancongan perlu berkembang seiring dengan perniagaan tempatan bagi membuka lebih banyak peluang kepada usahawan dan pekerjaan untuk anak muda di Semporna.
Beliau berkata kedudukan kawasan komersial Jalan Bubul di sepanjang laluan utama Balung-Semporna turut memberi potensi untuk kawasan itu berkembang sebagai pusat perdagangan dan perniagaan baharu.
“Saya percaya, jika dirancang dan dilaksanakan dengan baik, kawasan ini boleh menjadi salah satu pemangkin kepada perkembangan ekonomi di sekitar Semporna,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji mencadangkan Ampe (Semporna) Sdn Bhd mempertimbangkan pembinaan sebuah jeti di kawasan pembangunan berkenaan yang terletak berhampiran sungai dan laut.
Katanya, jeti itu bukan sahaja dapat meningkatkan nilai kawasan komersial, malah berpotensi dijadikan ruang rekreasi untuk penduduk dan pelancong.
“Jika ada jeti yang sesuai dan cantik, ia boleh memberikan nilai tambah dengan membolehkan orang ramai menikmati pemandangan sungai dan laut, bersantai, menikmati matahari terbenam serta mengambil gambar.
“Kita ingin manfaatkan keindahan yang Allah sudah berikan kepada Semporna ini sebaik-baiknya,” katanya.
Hajiji berkata 2026 menandakan permulaan fasa baharu pembangunan Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Menurutnya, SMJ 2.0 bertujuan meningkatkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi Sabah selain memastikan pembangunan negeri kekal inklusif dan mampan.
“Kita mahu Sabah yang ekonominya lebih pelbagai, lebih banyak memberi peluang kepada rakyat dan kita mahu modal insan yang lebih bersedia menghadapi ekonomi masa hadapan.
“Dan kita mahu pembangunan yang akhirnya meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh infrastruktur, menambah baik penyampaian perkhidmatan dan menarik pelaburan yang bersesuaian bagi mewujudkan persekitaran kondusif untuk pembangunan.
Hajiji turut menekankan kepentingan kerjasama kerajaan, sektor swasta, agensi pelaksana, usahawan dan rakyat bagi memastikan pembangunan yang dirancang memberi manfaat secara menyeluruh.
“Kita tidak mahu Sabah hanya menjadi tempat pelaburan. Kita mahu anak Sabah menjadi sebahagian daripada pelaburan dan pertumbuhan itu,” katanya.
Katanya, manfaat pembangunan perlu dirasai masyarakat di bandar dan luar bandar, termasuk usahawan besar dan kecil serta golongan muda dan generasi lebih berusia.
“Tidak ada daerah yang terlalu jauh dan tidak ada potensi yang harus kita biarkan begitu sahaja,” katanya.

