SEMPORNA: Kerajaan Sabah membelanjakan lebih RM1 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek berkaitan bekalan air di seluruh negeri dalam usaha menangani masalah infrastruktur yang diwarisi sejak sekian lama.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beberapa projek bekalan air berskala besar kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, terdapat projek yang dijangka siap hujung tahun ini, manakala projek di kawasan Tawau kini mencapai kemajuan sekitar 50 hingga 60 peratus.
"Terdapat dua tiga projek besar yang akan siap tidak lama lagi. Satu daripadanya hujung tahun ini dan di sebelah Tawau pun progres lebih kurang 50 hingga 60 peratus.
"Kita ganti paip-paip air di kebanyakan daerah kerana banyak kebocoran, banyak kecurian dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran 106 Unit Kedai Dua Tingkat Fasa 1 serta Pecah Tanah Projek Komersial Fasa 2 dan 3 Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Jalan Bubul di sini pada Selasa.
Hajiji berkata, isu bekalan air bukan masalah baharu yang berlaku di bawah pentadbiran kerajaan ketika ini, sebaliknya merupakan masalah yang telah diwarisi sejak kerajaan terdahulu.
Katanya, kerajaan negeri akan terus mengambil langkah bagi memastikan masalah berkenaan dapat ditangani demi kepentingan rakyat.
"Masalah air ini bukan datang waktu kerajaan ini, ia diwarisi dari dulu lagi. Jadi kita kena lakukan yang terbaik sebagai kerajaan yang bertanggungjawab.
"Betullah orang politik, air tiada, dia salahkan kerajaan kita. Tapi apa dia yang buat waktu dia berkuasa, tidak ada apa-apa.
"Yang penting kita positif saja, kita baik, kita laksanakan untuk kemudahan rakyat kita," katanya.
Dalam perkembangan sama, Hajiji berkata pembangunan 106 unit kedai dua tingkat oleh LPPB serta projek komersial Fasa 2 dan 3 dijangka memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi di Semporna.
Beliau berkata, pembangunan berkenaan penting memandangkan Semporna merupakan antara daerah pelancongan yang menerima kehadiran ramai pelawat.
"Saya merasmikan pelancaran projek LPPB, unit kedai yang telah siap 106 unit dan juga pelancaran fasa kedua dan ketiga, juga unit kedai.
"Ini menunjukkan ia akan lebih merancakkan ekonomi di daerah Semporna ini," katanya.
Menurutnya, kewujudan premis perniagaan baharu itu turut menyediakan ruang kepada penduduk tempatan untuk menjalankan aktiviti perniagaan termasuk sektor makanan, minuman dan jualan.
Hajiji berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada pemaju, projek komersial tersebut turut merangkumi pembinaan sebuah jeti.
Katanya, pembangunan itu selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menggalakkan penglibatan rakyat, pemaju dan sektor swasta dalam pembangunan negeri.
"Antara hala tuju kita dalam SMJ ialah peluang kepada semua rakyat, pemaju dan pihak swasta. Kita mempunyai dasar yang terbuka, 'friendly investor'.
"Ini sahaja cara kita untuk maju ke hadapan.
"Kita gubal satu dasar yang memudahkan para pemaju dan juga pelabur daripada luar datang ke sini kerana kalau ada pelaburan dan aktiviti ekonomi, kita akan wujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat kita seluas-luasnya," katanya.

