KOTA BELUD: Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu seberat 5.09 gram dalam Op Tapis Dadah di Kampung Pintasan, di sini, pada Selasa.
Suspek ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Belud kira-kira jam 2 petang selepas polis mengesan pergerakannya yang mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan bahan disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM509.
Menurut beliau, ujian saringan awal mendapati bahan berkenaan positif methamphetamine.
“Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Khairul Shah berkata, semakan awal turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah berkenaan serta kemungkinan penglibatan individu lain.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi membantu usaha membanteras kegiatan berkenaan,” katanya.

