TELUPID: Empat individu maut selepas kenderaan dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 7, Jalan Telupid-Beluran, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Beluran menuju ke Pekan Telupid.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun bersama tiga penumpang warga asing.
“Ketika melalui kawasan berselekoh, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 44 tahun.
“Ketika kejadian, pemandu lori berkenaan dalam perjalanan ke tempat kerja,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Hasan berkata, pertembungan itu menyebabkan pemandu lori mengalami kecederaan pada kaki dan tangan.
“Empat mangsa pula mengalami kecederaan parah akibat tersepit sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) tampil membantu siasatan.
“Saksi boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

