KOTA KINABALU: Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Dr Chua Sze Hung mengambil kira catatan positif dalam diari Allahyarham Zara Qairina Mahathir ketika membuat penilaian psikologi terhadap pelajar berusia 13 tahun itu.
Memberi keterangan di Mahkamah Koroner hari ini, Dr Chua berkata terdapat beberapa catatan yang menunjukkan interaksi kasual antara Zara Qairina dengan rakan-rakannya, manakala kebanyakan kandungan diari berkisar mengenai kehidupan Allahyarham di sekolah.
Katanya, catatan dalam diari itu disenaraikan bagi membantu mahkamah memahami ciri psikologi Zara Qairina yang mungkin menyumbang kepada faktor risiko.
“Ya, saya turut mengambil kira sisi positifnya,” katanya ketika menjawab soalan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Ditanya sama ada aspek positif dan negatif dalam diari itu dianalisis dalam bentuk peratusan, Dr Chua berkata pemberian skor berangka tidak sesuai dalam bidang psikologi dan psikiatri.
Katanya, penilaian memerlukan pemahaman terhadap perincian dan konteks psikologi seseorang secara deskriptif.
“Saya boleh katakan terdapat pelbagai kerentanan dan banyak kerentanan yang ketara bagi saya, seperti yang saya senaraikan.
“Trauma yang dinyatakan dan kesakitan yang digambarkan adalah signifikan pada pandangan saya, terutamanya apabila sampai ke tahap Allahyarham mendoakan kematian dirinya sendiri dan orang lain,” katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada aspek positif itu dimasukkan dalam laporan yang dikemukakannya kepada mahkamah, Dr Chua berkata hanya satu atau dua bahagian mengenainya dinyatakan.
Beliau berkata bahagian berkenaan menjelaskan penyesuaian Zara Qairina terhadap persekitaran baharu serta dinamik persekitarannya.
Dalam perkembangan lain, Dr Chua turut disoal mengenai kemungkinan wujud unsur berat sebelah dalam maklumat yang diberikan oleh pemberi maklumat.
Katanya, beliau akan mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber, setakat yang boleh, bagi mengesahkan sesuatu keterangan.
Jika maklumat hanya datang daripada satu sumber, perkara itu akan direkodkan, katanya.
Menurutnya, struktur naratif pemberi maklumat turut diperiksa termasuk aspek logik, penyampaian yang tidak tersusun, pengakuan tidak mengingati sesuatu perkara, kandungan yang tidak perlu serta komplikasi tidak dijangka dalam penceritaan.
“Sudah tentu mustahil untuk menghapuskan 100% unsur berat sebelah,” katanya.
Dr Chua juga mengakui mengetahui bahawa sebahagian pemberi maklumat dalam kalangan rakan sebaya Zara Qairina turut disiasat berhubung kejadian itu ketika proses temu bual dijalankan.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.

