Polis tahan penganggur warga asing, jumpa syabu 0.15 gram
21:09 Sep 15, 2026  |  By SabahKini2
Polis tahan penganggur warga asing, jumpa syabu 0.15 gram

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek dikesan berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dijalankan terhadapnya.

TAWAU: Seorang penganggur warga asing berusia 20-an ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam serbuan Op Tapis di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, di sini, semalam.

Suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek dikesan berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dijalankan terhadapnya.

Menurutnya, suspek yang kelihatan gelisah mengeluarkan sebuah kotak rokok dari poket seluarnya dan menyerahkannya kepada anggota polis.

“Hasil pemeriksaan menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.15 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, pemeriksaan lanjut menerusi ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, semakan rekod turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Rosdi menegaskan pihak polis akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah berkenaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terbabit dengan sebarang aktiviti berkaitan dadah serta menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui kewujudan kegiatan penyalahgunaan atau pengedaran dadah di kawasan masing-masing.

Comment