Sabah, Thailand perkukuh kerjasama bekalan ayam bernilai RM500 juta
17:09 Sep 17, 2026  |  By SabahKini2
Sabah, Thailand perkukuh kerjasama bekalan ayam bernilai RM500 juta

Delegasi Thailand diketuai Setiausaha Kementerian Pertanian dan Koperasi, Sorawut Nueangjamnong dan turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Ternakan, Somchuan Ratanamangkhalanon.

KOTA KINABALU: Sabah dan Thailand mahu memperkukuh kerjasama dalam sektor ternakan, veterinar dan unggas, termasuk membabitkan import ayam keratan yang bernilai lebih RM500 juta setahun.

Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat dua hala pertama antara Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) dengan Kementerian Pertanian dan Koperasi Thailand di Bangkok.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, antara perkara yang diberi perhatian ialah pensijilan halal produk ayam, keperluan pusat penyembelihan yang teratur serta kawalan penyakit unggas termasuk selesema burung.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan aspek keselamatan makanan dan bekalan ayam kepada rakyat Sabah terus terjamin.

Delegasi Thailand diketuai Setiausaha Kementerian Pertanian dan Koperasi, Sorawut Nueangjamnong dan turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Ternakan, Somchuan Ratanamangkhalanon.

Turut menyertai delegasi itu ialah Pengarah Biro Piawaian dan Pensijilan Produk Ternakan, Yutthana Sophi; Pengarah Bahagian Kerjasama Ternakan Antarabangsa, Wanida Chaengprachak serta Pegawai Veterinar, Peringkat Profesional Kanan, Bahagian Kerjasama Ternakan Antarabangsa, Photchana Sakrasae.

Delegasi MAFFI pula disertai Timbalan Setiausaha Tetap MAFFI, Shariffah Aznoor Jap; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS), Dr Zul Bahar Abdul Rashid bersama pegawai serta Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA), Datuk Shawn Davey.

Selain sektor ternakan, Sabah turut mengemukakan cadangan untuk memperluaskan kerjasama dengan Thailand dalam sektor pertanian lain, termasuk tanaman padi, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Kerjasama berkenaan dijangka merangkumi pemindahan teknologi serta perkongsian kepakaran antara pengusaha pertanian Thailand dan Sabah pada masa akan datang.

Comment