Polis tahan lelaki warga asing, rampas pistol dan syabu hampir 1kg
18:09 Sep 18, 2026  |  By SabahKini2
Polis tahan lelaki warga asing, rampas pistol dan syabu hampir 1kg

Menurutnya, pemeriksaan di dalam bilik penginapan itu menemukan sepucuk pistol semi-automatik jenis Colt .45, satu kelopak peluru serta tiga butir peluru yang disimpan di dalam plastik hitam.

TAWAU: Seorang lelaki warga asing berusia 26 tahun ditahan selepas polis menemui sepucuk pistol semi-automatik, tiga butir peluru dan dadah disyaki syabu seberat 901.35 gram dalam serbuan di sebuah bilik penginapan di Jalan Dunlop, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam bilik penginapan itu menemukan sepucuk pistol semi-automatik jenis Colt .45, satu kelopak peluru serta tiga butir peluru yang disimpan di dalam plastik hitam.

“Suspek kemudian membawa pasukan polis ke sebuah kereta sedan yang diletakkan di kawasan penginapan terbabit.

“Pemeriksaan terhadap sebuah beg silang hitam yang diletakkan di bawah tempat duduk pemandu menemukan satu paket plastik mengandungi bahan hablur jernih disyaki syabu seberat 901.35 gram,” katanya dalam satu kenyataan.

Rosdi berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah berkenaan adalah miliknya dan mendakwa mendapat bekalan itu daripada seorang lelaki di Sungai Pukul, Sebatik.

Beliau berkata, suspek turut mendakwa pistol berkenaan diperoleh daripada seorang lelaki di Kunak dan dipercayai untuk dijual kepada pihak lain di negara jiran.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine,” katanya.

Menurutnya, suspek direman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Comment