KOTA KINABALU: Bekalan gas Sabah dijangka meningkat hampir dua kali ganda kepada 1,350 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) menjelang 2030, berbanding kira-kira 700 MMscfd ketika ini.
Peningkatan itu dijangka didorong tujuh projek pembangunan luar pesisir membabitkan dua syarikat minyak antarabangsa dan empat syarikat minyak Malaysia dalam tempoh empat tahun akan datang.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkembangan itu mencerminkan kerjasama berterusan antara PETRONAS dan kerajaan negeri dalam membangunkan sumber minyak dan gas Sabah.
Katanya, strategi berkenaan menyediakan pelan pelaksanaan bagi memastikan bekalan gas mencukupi untuk menyokong keperluan tenaga serta aspirasi perindustrian negeri.
“Strategi ini menyediakan pelan pelaksanaan yang jelas bagi menjamin bekalan gas yang diperlukan untuk menyokong aspirasi perindustrian Sabah,” katanya selepas menyaksikan penyerahan laporan daripada SMJ Energy dan PETRONAS kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman.
Laporan Pelan Bekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang 2025 dan Pelan Pembangunan Gas Pantai Timur Sabah menggariskan strategi penghantaran gas berdasarkan kajian Pasukan Petugas Bersama Strategi Gas Sabah.
Kajian itu dilaksanakan menerusi kerjasama agensi negeri yang diterajui SMJ Energy bersama PETRONAS.
Menurut laporan itu, permintaan gas tambahan akan didorong oleh pembangunan loji janakuasa baharu dan kemudahan gas asli cecair terapung ketiga PETRONAS, PFLNG3.
Pelaburan baharu dalam sektor pembuatan di sepanjang koridor Pantai Barat turut dijangka meningkatkan permintaan gas.
Koridor berkenaan merangkumi kawasan dari Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), melalui Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis, hingga Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP) di Sipitang serta terminal gas di Labuan.
Sementara itu, Pelan Pembangunan Gas Pantai Timur Sabah mengenal pasti kelompok medan gas Mutiara di luar pesisir Sandakan sebagai sumber yang berpotensi dibangunkan untuk memenuhi keperluan tenaga di kawasan berkenaan.
Gas dari medan itu dicadang dibekalkan kepada loji janakuasa gas baharu di Taman Perindustrian Sawit Kinabalu Sandakan.
Ia juga akan digunakan bagi menyokong usaha menukar stesen janakuasa Sabah Electricity di Batu Sapi daripada penggunaan diesel kepada turbin berasaskan gas.
Langkah itu akan membolehkan Pantai Timur Sabah menjana bekalan elektrik berasaskan gas sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada penghantaran bekalan dari Pantai Barat.
Hajiji berkata pembangunan itu turut berpotensi membuka ruang kepada industri berasaskan gas di Sandakan dan kawasan Pantai Timur Sabah.
Beliau turut menghargai peranan PETRONAS dalam menerajui kerja teknikal berhubung perancangan berkenaan bersama SMJ Energy (SMJE), Sabah Energy Corporation (SEC), Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, yang juga Pengerusi SMJ Energy, serta Ketua Pegawai Operasi merangkap Naib Presiden Eksekutif SMJ Energy, Datuk Albert Lo.

