JSJN Sabah lupus dadah bernilai lebih RM120 juta
18:09 Sep 18, 2026  |  By SabahKini2
JSJN Sabah lupus dadah bernilai lebih RM120 juta

Proses pelupusan yang bermula kira-kira jam 7 pagi itu membabitkan barang kes daripada 5,732 kertas siasatan yang dibawa menggunakan empat palet mengandungi 93 kotak.

KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah melupuskan pelbagai barang kes dadah bernilai RM120.43 juta di Tapak Pelupusan Kualiti Alam Sdn Bhd, Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Proses pelupusan yang bermula kira-kira jam 7 pagi itu membabitkan barang kes daripada 5,732 kertas siasatan yang dibawa menggunakan empat palet mengandungi 93 kotak.

Antara barang kes yang dilupuskan ialah 370,223.042 gram syabu, 609,669.2 gram mitragynine, 24,104.15 gram kokain, 3,518.04 gram ketamin dan 2,970.17 gram ganja.

Turut dimusnahkan ialah 14.95 gram Eramin 5 dan 0.2 gram heroin mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan.

Pelupusan itu dihadiri Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil; Timbalan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Sabah, Deputi Superintendan Ku Azam Ku Abdullah; Pegawai Turus Perundangan dan Naziran JSJN Sabah, Asisten Superintendan Siti Norsaidah Mohamad Shah; Inspektor Zuriaeh serta Koperal Te Cang Xiong.

Turut hadir wakil Kualiti Alam Sdn Bhd, Norimah Daud dan Azrul Hakim.

Penghantaran barang kes berkenaan dikawal dan diiringi secara berperingkat oleh Kontinjen Selangor, Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Kawalan turut membabitkan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Nilai serta BPJKK dan Trafik IPD Seremban.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun pada sidang media pada 1 September lalu memaklumkan bahawa dadah bernilai RM120,429,666.49 akan dilupuskan.

Pelupusan membabitkan barang kes daripada 5,732 kertas siasatan itu dilakukan bagi memastikan dadah berkenaan tidak kembali ke pasaran.

Comment