Sabah percepat projek tenaga selepas ambil alih kuasa kawal selia
22:09 Sep 21, 2026  |  By SabahKini2
Sabah percepat projek tenaga selepas ambil alih kuasa kawal selia

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jidar simpanan penjanaan elektrik Sabah meningkat daripada paras terendah 8% pada 2024 kepada 19% setakat Ogos tahun ini.

KOTA KINABALU: Prestasi sistem bekalan elektrik Sabah menunjukkan peningkatan ketara selepas negeri itu mengambil alih kuasa kawal selia sektor elektrik dan tenaga boleh baharu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jidar simpanan penjanaan elektrik Sabah meningkat daripada paras terendah 8% pada 2024 kepada 19% setakat Ogos tahun ini.

Beliau berkata jidar simpanan itu dijangka mencapai 26% menjelang akhir tahun.

“Dahulu, kerajaan negeri terpaksa menunggu empat hingga lima tahun untuk mendapatkan kelulusan permohonan daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan.

“Tetapi sejak kita mengambil alih, kita boleh melaksanakannya sendiri dan mempertingkatkan sistem bekalan elektrik kita dengan lebih cepat,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) di sini hari ini.

Sabah mengambil alih kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu susulan kelulusan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan Enakmen Pindaan ECoS 2024 oleh Dewan Undangan Negeri pada 3 Januari 2024.

Setahun sebelum itu, Sabah turut mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas di negeri berkenaan.

Menurut Hajiji, tempoh gangguan bekalan elektrik juga semakin berkurangan berdasarkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI).

Katanya, SAIDI turun daripada 598 minit pada 2023 kepada 226 minit setakat Julai tahun ini.

Beliau berkata peningkatan itu hasil pelbagai inisiatif penambahbaikan sistem grid yang dilaksanakan secara berterusan.

Namun, katanya, pengukuhan sektor tenaga perlu dibuat secara menyeluruh, termasuk memastikan infrastruktur penghantaran dan pembahagian berada pada tahap bersedia bagi meningkatkan kebolehpercayaan serta keanjalan sistem.

Katanya, usaha itu selaras dengan Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SE-RAMP) 2040 serta sasaran mencapai 50% campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035.

Hajiji berkata mesyuarat MTS turut membincangkan semakan Kajian Unjuran Beban Jangka Panjang (LTDF2026) dan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik (PDP2026) bagi tempoh 10 tahun.

Katanya, kedua-dua perancangan itu penting bagi memastikan kapasiti penjanaan sentiasa dapat memenuhi permintaan tenaga pada masa depan.

Bagi mengukuhkan bekalan di Pantai Timur Sabah, beliau berkata cadangan membangunkan loji janakuasa gas di Sandakan dan Tawau turut dirancang.

Loji berkenaan akan menggantikan kemudahan penjanaan berasaskan diesel dan minyak bahan api sederhana (MFO) yang mempunyai kos lebih tinggi.

“Penambahan kapasiti Solar Berskala Besar (LSS) dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang dilaksanakan melalui proses bidaan kompetitif juga akan menyokong pengukuhan sistem penjanaan,” katanya.

Menurutnya, LSS dan BESS turut dilaksanakan khusus bagi meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Pantai Timur.

Hajiji berkata setiap keputusan MTS perlu dibuat secara seimbang dan berhemah dengan mengambil kira keterjaminan bekalan, kos sistem, keperluan industri serta kepentingan pengguna.

“Keutamaan kita ialah memastikan pengguna menikmati bekalan elektrik pada kadar yang berpatutan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) akan terus memantau pelaksanaan projek yang diluluskan bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik negeri.

Comment