LAHAD DATU: Empat penyeludup terjun ke laut sebelum melarikan diri ke daratan selepas menyedari kehadiran bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Felda Sahabat, di sini, semalam.
Dua bot ditahan dalam operasi berasingan pada 8.26 pagi dan 9.14 pagi hasil risikan menerusi Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0 di perairan selatan Tanjung Sinakut.
Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata dua lelaki dewasa dari setiap bot terjun ke laut ketika bot ronda menghampiri mereka.
Katanya, pemeriksaan terhadap bot pertama menemukan 24 tong berisi petrol berkapasiti 25 liter setiap satu, berjumlah kira-kira 600 liter.
“Bot kedua pula membawa empat peti mengandungi kira-kira 40,000 batang rokok seludup, selain tujuh tong gas memasak dan 20 tong minyak kosong berkapasiti 25 liter setiap satu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dzulfikhar, kedua-dua bot dipercayai mempunyai peranan berbeza dalam kegiatan penyeludupan itu.
“Bot pertama dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan petrol ke negara jiran, manakala bot kedua dipercayai mendapatkan bekalan minyak sebelum diseludup dan dijual di negara berkenaan,” katanya.
Nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes dianggarkan RM65,700.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala kes rokok tidak bercukai turut disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

