Pencuri sasarkan treler Nvidia, namun hanya temui 18 tan pasir
16:10 Oct 02, 2026  |  By SabahKini2
Pencuri sasarkan treler Nvidia, namun hanya temui 18 tan pasir

Syarikat trak autonomi, PlusAI, mengesahkan dua treler dicuri dari gudangnya di Fremont baru-baru ini, termasuk sebuah treler yang memaparkan jenama Nvidia.

CALIFORNIA: Cubaan pencuri melarikan dua treler yang dipercayai menyasarkan peralatan kecerdasan buatan (AI) bernilai tinggi berakhir dengan kekecewaan selepas mendapati kedua-dua kenderaan itu hanya membawa muatan pasir.

Syarikat trak autonomi, PlusAI, mengesahkan dua treler dicuri dari gudangnya di Fremont baru-baru ini, termasuk sebuah treler yang memaparkan jenama Nvidia.

Namun, treler berkenaan tidak membawa cip Nvidia seperti yang mungkin disangka, sebaliknya sarat dengan kira-kira 18,144 kilogram pasir.

Kejadian dipercayai berlaku pada waktu malam sebelum kehilangan kedua-dua treler itu disedari pekerja pada keesokan paginya.

Pihak berkuasa kemudian berjaya menemui semula kedua-dua treler pada hari sama selepas seorang rakan kepada Naib Presiden Undang-Undang PlusAI terserempak dengan kenderaan itu yang diletakkan di luar sebuah pejabat di Newark.

Individu berkenaan kemudiannya menghantar gambar treler tersebut kepada pihak syarikat.

Menurut pihak berkuasa, pencuri dipercayai memecahkan bahagian belakang treler sebelum meninggalkannya selepas mendapati tiada barangan bernilai di dalamnya.

PlusAI menggunakan pasir sebagai pemberat bagi mengimbangkan muatan treler ketika menjalankan ujian penyelidikan dan pembangunan.

Penggunaan pasir membolehkan syarikat berkenaan mensimulasikan keadaan sebenar ketika kenderaan membawa muatan.

Setiap treler membawa kira-kira 9,071 kilogram pasir.

Naib Presiden Pemasaran PlusAI, Lauren Kwan, berkata syarikat itu tidak pernah berdepan kejadian kecurian traktor atau treler sejak ditubuhkan pada 2016.

Sementara itu, Nvidia enggan mengulas mengenai kejadian berkenaan.

Insiden itu berlaku ketika kecurian kargo yang menyasarkan peralatan berkaitan AI dilaporkan semakin meningkat.

Di Illinois, polis baru-baru ini berjaya menemui semula peralatan pusat data bernilai AS$1 juta (RM4.09 juta) selain wayar kuprum yang dilaporkan dicuri.

Ia menyusuli kejadian kecurian cip Nvidia bernilai AS$7 juta (RM28.62 juta) di California pada Disember 2024.

Firma pengurusan risiko rantaian bekalan, Overhaul, merekodkan kerugian akibat kecurian kargo peralatan AI melebihi AS$150 juta (RM613.2 juta).

Menurut firma itu, nilai barangan AI yang dicuri meningkat lebih 110 peratus susulan lonjakan perbelanjaan global terhadap teknologi berkenaan.

Perbelanjaan AI global dijangka mencecah AS$2.7 trilion (RM11.04 trilion) tahun ini.

Naib Presiden Eksekutif Overhaul, David Warrick, berkata skala kecurian itu menunjukkan kemungkinan wujud kegiatan sindiket jenayah terancang antarabangsa yang cuba menyeludup produk AI ke negara yang dikenakan sekatan, termasuk China dan Rusia, melalui pasaran gelap.

Kwan berkata, kecurian kargo kekal menjadi cabaran berterusan dalam industri pengangkutan trak.

Menurutnya, keadaan itu meningkatkan keperluan terhadap sistem penjejakan yang lebih berkesan.

Firma keselamatan juga kini menggunakan teknologi AI bagi membanteras taktik seperti penggunaan pemandu palsu dan kegiatan penyeludupan.

Comment