AMPANG: Doktor yang ditugaskan ke Sabah dan Sarawak diberi tempoh sehingga 7 Oktober ini untuk melaporkan diri di lokasi penempatan masing-masing.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata masih terlalu awal untuk menentukan tindakan terhadap doktor yang belum melaporkan diri berikutan tempoh yang diberikan masih belum berakhir.
Beliau berkata, doktor terbabit diberikan ruang, peluang dan masa secukupnya untuk melapor diri bermula 30 September hingga 7 Oktober ini.
"Mereka diberi ruang, peluang dan masa untuk melaporkan diri pada 30 September hingga 7 Oktober ini.
"Jadi, saya rasa terlalu awal untuk kita menilai kerana masih ada beberapa hari lagi untuk mereka melaporkan diri," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Santuni Pesara, di sini, hari ini.
Menurutnya, doktor berkenaan mungkin memerlukan masa untuk berpindah dari Semenanjung ke lokasi penempatan baharu, termasuk kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.
"Mungkin doktor itu bertukar dari Terengganu atau Pulau Pinang. Sudah pasti, mereka memerlukan masa untuk sampai ke Sabah dan Sarawak.
"Kemungkinan mereka juga ditempatkan di daerah pedalaman. Jadi, pada pandangan saya, kita tunggu sehingga masa yang ditetapkan.
"Selepas itu, barulah kita boleh ulas bagaimana perkara ini akan dilihat dari sudut pematuhan kepada penempatan terbabit," katanya.
Mengulas kemungkinan tindakan dikenakan terhadap doktor yang gagal melapor diri, Wan Ahmad Dahlan berkata, perkara itu sememangnya diperuntukkan di bawah peraturan perkhidmatan awam.
Katanya, surat penempatan turut menetapkan kewajipan untuk pegawai melaporkan diri, manakala tindakan boleh diambil berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa.
"Memang ada dalam klausa di situ (surat penempatan), maknanya mereka wajib melaporkan diri dan tindakan berdasarkan peraturan dalam perkhidmatan awam boleh diambil.
"Bagaimanapun, kita tunggu sehingga tempoh berkenaan selesai, barulah kita boleh lihat bagaimana cara untuk menguruskan isu terbabit," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa hospital di Sabah dan Sarawak berdepan kekurangan pegawai perubatan (MO) selepas didakwa tiada doktor baharu melaporkan diri bagi pengambilan jawatan tetap bulan ini.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini belum mendedahkan jumlah sebenar MO yang tidak hadir melapor diri.
Dakwaan mengenai kekurangan pegawai perubatan di beberapa fasiliti kesihatan berkenaan sebelum ini turut dikongsikan pengguna di platform Threads.
Berdasarkan perkongsian berkenaan, Hospital Kanowit, Sarawak didakwa tidak menerima seorang pun MO baharu bagi jawatan tetap, menyebabkan hanya tiga MO mengendalikan keseluruhan fasiliti berkenaan.
Sementara itu, di Hospital Miri, daripada 35 MO yang melapor diri bagi pelantikan tetap, 16 adalah MO baharu, manakala selebihnya terdiri daripada MO kontrak yang sudah berkhidmat di fasiliti berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang doktor turut mendakwa jabatan pediatrik hanya menerima dua MO baharu pada bulan lalu.

