SAR temui jasad lelaki 2km dari lokasi kereta terbabas
18:10 Oct 02, 2026  |  By SabahKini2
SAR temui jasad lelaki 2km dari lokasi kereta terbabas

Mangsa ditemukan pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 10.30 pagi, pada jarak lebih kurang dua kilometer dari lokasi kenderaan Honda WR-V miliknya.

KOTA KINABALU: Misteri kehilangan seorang lelaki berusia 27 tahun selepas kenderaan dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Pan Borneo berhampiran Kampung Kawakaan, di sini, petang semalam, terjawab apabila jasad mangsa ditemukan pagi ini.

Mangsa ditemukan pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 10.30 pagi, pada jarak lebih kurang dua kilometer dari lokasi kenderaan Honda WR-V miliknya.

Ketua Zon Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Johari Dzulkiflie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 4.55 petang semalam.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan serta kawasan sekitar bagaimanapun tidak menemukan mangsa.

“Bomba bersama polis kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi, namun operasi ditangguhkan pada jam 8.10 malam atas arahan polis dan akan disambung sekiranya terdapat petunjuk baharu,” katanya.

Menurut beliau, operasi SAR disambung semula pada pagi ini sebelum mangsa ditemukan kira-kira jam 10.30 pagi.

“Jasad mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, kejadian berkenaan sebelum ini tular di media sosial selepas rakaman video menunjukkan sebuah kenderaan terbabas sebelum terjunam ke dalam parit di laluan Jalan Pan Borneo ketika hujan lebat petang semalam.

Rakaman pengguna jalan raya itu turut memaparkan beberapa individu berada di lokasi bagi membantu mangsa, manakala sebuah kren digunakan bagi mengeluarkan kenderaan terbabit dari dalam parit.

Comment