Sabah guna pendekatan OBI untuk perangi ketirisan dan rasuah
20:10 Oct 06, 2026  |  By SabahKini2
Sabah guna pendekatan OBI untuk perangi ketirisan dan rasuah

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pendekatan itu menetapkan setiap instrumen Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah (GIA) mesti menghasilkan keberhasilan yang nyata dan boleh diukur.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperkenalkan pendekatan Outcome-Based Integrity (OBI) atau Integriti Berasaskan Keberhasilan bagi memperkukuh tadbir urus serta membina pentadbiran yang lebih berdaya tahan terhadap rasuah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pendekatan itu menetapkan setiap instrumen Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah (GIA) mesti menghasilkan keberhasilan yang nyata dan boleh diukur.

Katanya, OBI memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu mengurangkan risiko ketirisan dan penyelewengan, meningkatkan kecekapan serta ketelusan penyampaian perkhidmatan awam, selain memperkukuh tahap kepercayaan rakyat dan pelabur.

“OBI memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu pengurangan ketara risiko ketirisan dan penyelewengan, kecekapan dan ketelusan penyampaian perkhidmatan awam; serta peningkatan ketara tahap kepercayaan rakyat (Public Trust Index) dan pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2026 bertemakan Integriti Memacu Tatakelola Sabah Maju Jaya, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, pendekatan tadbir urus negeri kini perlu beralih daripada tindakan reaktif kepada pendekatan “3P” iaitu Proactive, Predictive and Preventive.

Menurutnya, langkah itu membolehkan risiko dikenal pasti dan dicegah lebih awal berdasarkan penilaian risiko yang nyata.

“Birokrasi yang tidak teratur adalah sarang paling subur bagi gejala rasuah dan wang rasuah rundat (quick money).

“Setiap ringgit dana awam yang dibelanjakan mesti memberikan nilai yang maksimum terus kepada kesejahteraan rakyat, tanpa susut nilai di tengah jalan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memperkukuh pelaksanaan OBI melalui digitalisasi, analisis data dan wawasan tingkah laku, selain memasukkan elemen keberhasilan dalam penilaian prestasi agensi kerajaan.

Katanya, ukuran keberhasilan OBI akan dijadikan sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunan ketua jabatan serta kepimpinan syarikat berkaitan kerajaan negeri.

“Prestasi pentadbiran akan diukur berdasarkan tahap pengurangan risiko ketirisan dan kecekapan perkhidmatan,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan negeri akan memperluas pemerkasaan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dan memperkukuh fungsi Unit Integriti bagi membentuk kepimpinan berintegriti generasi baharu.

Hajiji berkata, integriti bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi asas kepada pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Menerusi pemantapan pengurusan GIA yang dipacu oleh inisiatif berasaskan keberhasilan, integriti bukan lagi slogan atau retorik moral semata-mata, tetapi teras utama yang memacu kejayaan pelan pembangunan SMJ.

“Integriti adalah enjin penggerak, memastikan setiap dana awam dan setiap dasar kerajaan memberikan nilai pulangan optimum serta impak nyata kepada rakyat, tanpa sebarang ketirisan mahu pun penyelewengan,” katanya.

Beliau berkata, integriti dalam kalangan penjawat awam juga menjadi antara faktor penting dalam menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ 2.0 (2026–2030), yang meletakkan Tadbir Urus Berintegriti sebagai satu daripada lima Pemboleh Daya Strategik.

Katanya, dalam fasa baharu itu, prestasi penyampaian perkhidmatan tidak lagi hanya dinilai berdasarkan laporan pentadbiran, sebaliknya turut mengambil kira impak sebenar kepada kesejahteraan rakyat.

“Saya menyeru agar semua penjawat awam terus memperkukuh kerja berpasukan dan mempertahankan etika kerja yang tinggi,” katanya.

Lebih 2,500 peserta dari seluruh Sabah menghadiri KITA 2026 yang berlangsung selama dua hari, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh pengurusan GIA.

Menurut Hajiji, KITA yang mula diperkenalkan pada 2023 dan diteruskan pada 2024 kini menjadi platform bagi memperkukuh agenda integriti, tadbir urus dan antirasuah di Sabah.

Antara pencapaian yang dikaitkan dengan KITA ialah penempatan 10 CeIO sebagai Ketua Unit Integriti di setiap kementerian, pembangunan aplikasi mudah alih i-Adu, sistem i-DIMSS dan i-STANS.

Selain itu, 17 pegawai agensi kerajaan negeri turut lulus Certification in Professional Integrity Assurance and Management (CPIAM) oleh Universiti Sains Malaysia (USM).

Di peringkat nasional pula, Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, menerima pengiktirafan UNGGUL dalam pensijilan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) oleh Institut Integriti Malaysia (IIM).

Comment