Dua kanak-kanak antara lima cedera parah dalam nahas di Penampang
14:10 Oct 12, 2026  |  By SabahKini2
Dua kanak-kanak antara lima cedera parah dalam nahas di Penampang

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, seorang bayi yang turut terlibat dalam kemalangan itu mengalami kecederaan ringan.

PENAMPANG: Lima individu termasuk dua kanak-kanak cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Bundusan, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa yang cedera parah terdiri daripada seorang wanita berusia 37 tahun yang memandu Perodua Axia, dua kanak-kanak masing-masing berusia lapan dan lima tahun serta dua lelaki berusia 20 tahun yang menaiki Toyota Hilux.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, seorang bayi yang turut terlibat dalam kemalangan itu mengalami kecederaan ringan.

Menurut kenyataan itu, dua lelaki yang menaiki Toyota Hilux berkenaan ialah pemandu dan seorang lagi individu yang identitinya belum dikenal pasti.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.49 pagi.

“Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 7.10 pagi,” menurut kenyataan itu.

Semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

Operasi menyelamat yang turut dibantu anggota polis dan KKM itu ditamatkan pada jam 7.57 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat dan terkawal.

Comment