KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian membelasah seorang lelaki berusia 23 tahun menggunakan topi keledar di hadapan sebuah premis di KK Taipan, Inanam, di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai dipukul dan ditendang sekumpulan lelaki tidak dikenali sehingga mengalami keretakan tulang hidung, selain lebam dan calar di beberapa bahagian badan.
Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa pada jam 5.48 petang, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diserang sekumpulan lelaki, termasuk menggunakan topi keledar.
“Polis kini giat mengesan dan mengenal pasti lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Shahrudin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 33 saat yang memaparkan seorang lelaki dipercayai dibelasah sekumpulan individu menggunakan topi keledar di kawasan berkenaan tular di media sosial sejak petang tadi.

