KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir enggan membenarkan bedah siasat dijalankan ke atas jenazah anaknya pada 17 Julai 2025, meskipun selepas penjelasan diberikan polis.
Pegawai penyiasat, Inspektor Wong Yew Zhung, berkata beliau bertemu Noraidah Lamat di Hospital Queen Elizabeth (QEH) selepas Zara, 13, disahkan meninggal dunia pada 1.07 tengah hari.
Wong, saksi ke-83 dalam inkues itu, berkata beliau menjelaskan kepada Noraidah bahawa bedah siasat perlu dijalankan bagi membantu siasatan kematian anaknya.
“Bagaimanapun, ibu Zara menjawab, ‘Tidak’, dan enggan membenarkan bedah siasat dijalankan.
“Saya menjelaskan semula mengenai pemeriksaan bedah siasat kepadanya, tetapi beliau tetap berpendirian tegas dengan berkata, ‘Tidak. Saya mahu mengebumikannya dengan segera,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menurut Wong, tiada borang POL 61 dikeluarkan ketika itu kerana Noraidah menolak prosedur berkenaan, manakala punca kematian Zara sudah dikenal pasti.
Beliau berkata Noraidah turut menandatangani beberapa dokumen pada hari sama, termasuk Pengisytiharan Penolakan Sukarela Bedah Siasat, sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.
Dokumen itu merekodkan bahawa Noraidah tidak berhasrat menjalankan bedah siasat, tidak mengesyaki unsur jenayah dan tidak akan meminta laporan bedah siasat daripada hospital bagi tujuan mediko-legal, insurans atau tuntutan lain.
Bagaimanapun, Wong berkata beliau memohon perintah menggali semula kubur Zara pada 9 Ogos 2025 atas arahan Jabatan Peguam Negara.
Perintah itu diperoleh daripada Majistret Zuraini Ali Musa pada kira-kira 3 petang hari sama di bawah Seksyen 335(2) Kanun Tatacara Jenayah.
Mayat Zara kemudian digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Kampung Mesapol Lama, Sipitang, sebelum dibawa ke Jabatan Forensik QEH untuk bedah siasat.
Pemeriksaan bermula kira-kira 11 pagi pada 10 Ogos 2025, diketuai pakar patologi forensik Dr Jessie Hiu bersama tiga doktor lain.
Wong berkata Dr Jessie merumuskan punca kematian Zara sebagai kecederaan otak traumatik teruk dengan hypoxic ischaemic encephalopathy, iaitu kerosakan otak akibat kekurangan bekalan oksigen dan aliran darah.
Menurutnya, punca kematian itu sama seperti yang disahkan pada 17 Julai 2025.
Pemeriksaan terhadap kecederaan pada tubuh Zara juga mendapati ia konsisten dengan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi, katanya.
Wong berkata beliau menerima panggilan daripada Dr Pavankumar Balachandran pada kira-kira 1.35 tengah hari, 17 Julai 2025, yang memaklumkan kematian Zara. Beliau kemudian bergegas ke QEH bersama jurugambar polis dan tiba kira-kira 3.30 petang.
Noraidah, yang selesai memberikan keterangan semalam, hadir pada prosiding hari ini dan duduk di galeri awam bersama kakak iparnya, Nur Shira.
Inkues bermula pada 3 September 2025 bagi menentukan punca dan keadaan kematian Zara, termasuk sama ada terdapat unsur jenayah.

