MDPTN sita peralatan ujian tanah di perairan Putatan
14:10 Oct 14, 2026  |  By SabahKini2
MDPTN sita peralatan ujian tanah di perairan Putatan

Tindakan itu diambil selepas semakan mendapati aktiviti berkenaan tidak mendapat kelulusan daripada pihak majlis.

PENAMPANG: Majlis Daerah Putatan (MDPTN) menyita peralatan yang dipercayai digunakan bagi aktiviti pengujian tanah (soil test) di kawasan perairan berhampiran sebuah taman perumahan di Putatan, susulan aduan penduduk.

Tindakan itu diambil selepas semakan mendapati aktiviti berkenaan tidak mendapat kelulusan daripada pihak majlis.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Bandar (JKKB) Pekan Putatan, Sheikh Mahadir Sheikh Abdul Wahid bersama wakil komuniti turun padang bagi meninjau aktiviti yang dijalankan di kawasan perairan terbabit.

Susulan tinjauan itu, pihak JKKB bersama komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) membuat laporan polis di Balai Polis Putatan bagi membolehkan perkara berkenaan disiasat lanjut.

Penyitaan peralatan berkenaan dilaksanakan mengikut Seksyen 104B(2) Ordinan Kerajaan Tempatan 1961, yang memperuntukkan kuasa untuk menyita peralatan yang digunakan atau disyaki digunakan dalam sesuatu kesalahan.

Comment