Tiga keluarga hilang tempat berteduh, enam kenderaan turut musnah
16:10 Oct 19, 2026  |  By SabahKini2
Tiga keluarga hilang tempat berteduh, enam kenderaan turut musnah

Kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu turut mengakibatkan tiga kereta dan tiga motosikal musnah, manakala dua lagi kereta mengalami kerosakan pada tahap berbeza.

PAPAR: Tiga keluarga kehilangan tempat tinggal selepas rumah dua tingkat yang didiami mereka musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Kogopon, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu turut mengakibatkan tiga kereta dan tiga motosikal musnah, manakala dua lagi kereta mengalami kerosakan pada tahap berbeza.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rony Sikawan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.31 pagi sebelum sembilan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.52 pagi dan mendapati rumah jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 167 meter persegi itu terbakar sepenuhnya.

“Rumah yang dihuni tiga keluarga itu musnah 100 peratus, manakala tiga kereta turut musnah sepenuhnya.

“Dua lagi kereta mengalami kerosakan masing-masing 20 dan 30 peratus, manakala tiga motosikal turut musnah 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 60 meter dengan dua pancutan air daripada tangki jentera bomba.

Api berjaya dikawal pada jam 3.05 pagi sebelum anggota meneruskan kerja pemadaman bara bagi memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.15 pagi.

Comment