KOTA KINABALU: Jalan raya berhampiran Pelabuhan Sepanggar yang menjadi lokasi tragedi dua beranak maut dihempap kontena pada Ahad lalu didapati tidak sesuai untuk aktiviti pemunggahan atau pemindahan kontena berikutan keadaan jalan yang sempit.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, perkara itu dikenal pasti hasil tinjauan di lokasi kejadian pada Isnin bagi meneliti aspek keselamatan serta langkah penambahbaikan bagi mengelakkan tragedi sama berulang.
Menurutnya, aktiviti pemunggahan dan pemindahan kontena sepatutnya dilakukan di dalam kawasan pelabuhan atau depot kontena yang mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata, hasil pemerhatian turut mendapati terdapat pengusaha yang meletakkan kontena di bahu jalan, termasuk di atas longkang, sekali gus mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan berpotensi merosakkan infrastruktur.
“Keadaan ini perlu diberi perhatian serius bagi memastikan aktiviti pengangkutan dan pemunggahan kontena tidak membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohd Harris berkata, JPJ Sabah menjalankan operasi khas pada 19 Oktober lalu susulan kejadian itu dengan mengambil tindakan terhadap 65 kenderaan serta mengeluarkan 109 notis atas pelbagai kesalahan.
Katanya, kesalahan tertinggi membabitkan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memberhentikan atau membenarkan kenderaan berhenti di jalan dalam keadaan yang boleh membahayakan, menghalang atau menyusahkan pengguna jalan raya lain.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata, statistik penguatkuasaan di sekitar Jalan Sepanggar merekodkan sebanyak 397 notis dikeluarkan sepanjang 2025, manakala 486 notis dikeluarkan bagi tahun ini setakat ini.
Sehubungan itu, JPJ Sabah akan membangkitkan kepada pihak berwajib mengenai keperluan menyediakan kawasan depot simpanan kontena dan ruang menunggu yang sesuai bagi kenderaan perdagangan.
Antara cadangan penambahbaikan yang turut perlu dipertimbangkan ialah pemasangan bonggol jalan, pembaikan jalan raya, peningkatan pencahayaan serta pelebaran bahu jalan di sepanjang laluan ke Pelabuhan Sepanggar.
“Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko kemalangan, terutama pada waktu malam,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Harris merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap kejadian berkenaan menjadi peringatan kepada semua pihak supaya sentiasa mengutamakan keselamatan serta mematuhi peraturan jalan raya.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang Ahad lalu, seorang lelaki berusia 53 tahun bersama anak perempuannya berusia 24 tahun maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap kontena berhampiran Pelabuhan Sepanggar.
Kontena berkenaan dilaporkan hilang keseimbangan ketika proses pemunggahan muatan ke atas sebuah treler sebelum terjatuh dan menghempap kereta mangsa.
Pasukan bomba mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan bantuan dua kren bagi mengalihkan kontena sebelum kereta yang terperangkap di bawahnya berjaya dikeluarkan.
Susulan kejadian itu, polis menahan pemandu treler berusia 49 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tinjauan ke lokasi kejadian turut disertai Timbalan Pengarah JPJ Sabah, Jusiang, Ketua Bahagian Penguat Kuasa, Misnan Tamimi serta 27 pegawai dan anggota JPJ Sabah.

