Projek IPD Nabawan perkukuh keselamatan di sempadan Indonesia
20:10 Oct 20, 2026  |  By SabahKini2
Projek IPD Nabawan perkukuh keselamatan di sempadan Indonesia

Hajiji berkata, kedudukan strategik Nabawan yang bersempadan dengan Indonesia memerlukan keupayaan keselamatan lebih mantap bagi menangani jenayah rentas sempadan dan kegiatan haram.

NABAWAN: Projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan perumahan polis Nabawan bernilai RM150 juta dijangka bermula Januari 2027 bagi memperkukuh keselamatan di daerah itu, khususnya di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek berkenaan merupakan pelaburan strategik kerajaan untuk meningkatkan keupayaan penguatkuasaan undang-undang serta penyampaian perkhidmatan keselamatan kepada penduduk setempat.

Beliau berkata pelaksanaannya perlu mengutamakan integriti dan mematuhi spesifikasi serta standard ditetapkan bagi memastikan kemudahan yang dibina memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita bukan sekadar mahu melihat projek ini disiapkan, tetapi mahu memastikan hasil pembinaannya mampu memberikan manfaat untuk jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan IPD dan perumahan polis Nabawan, hari ini.

Hajiji berkata, kedudukan strategik Nabawan yang bersempadan dengan Indonesia memerlukan keupayaan keselamatan lebih mantap bagi menangani jenayah rentas sempadan dan kegiatan haram.

Katanya, usaha itu memerlukan penguatkuasaan bersepadu dan berterusan, selain pengukuhan infrastruktur, kemudahan operasi serta sistem pentadbiran PDRM.

Menurutnya, Balai Polis Nabawan yang ditubuhkan pada 1976 kini berada di bawah pentadbiran IPD Keningau, walaupun daerah itu mempunyai kawasan pentadbiran seluas kira-kira 6,089 kilometer persegi.

“Dengan keluasan kawasan pentadbiran ini, keperluan terhadap struktur kepolisan yang lebih tersusun dan bersesuaian dengan tuntutan keselamatan semasa amat wajar diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata pembangunan IPD Nabawan juga penting bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman mendapat perkhidmatan keselamatan lebih baik.

Katanya, penyediaan infrastruktur yang kondusif dan dilengkapi teknologi terkini turut menjadi keperluan bagi menyokong tugas anggota keselamatan, terutama di kawasan sempadan.

Hajiji berkata keselamatan merupakan asas penting kepada pembangunan negeri kerana pertumbuhan ekonomi yang mampan memerlukan persekitaran aman dan stabil.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh infrastruktur keselamatan di seluruh Sabah, termasuk meningkatkan kebajikan anggota PDRM melalui penyediaan kemudahan kerja dan perumahan yang sesuai.

“Kita mahu rakyat di Nabawan merasakan bahawa keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan mereka sentiasa diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup; Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainudin Aman; dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun.

Comment