PENAMPANG: Tiga blok gudang menyimpan barangan plastik musnah sepenuhnya, manakala 12 kenderaan turut terbakar dalam kejadian di Mogoputi Industrial Park, Fasa 2, di sini, malam Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.25 malam itu, kenderaan yang musnah terdiri daripada empat van, empat kenderaan pacuan empat roda, dua lori lima tan, sebuah kereta kompak dan sebuah motosikal.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.29 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi empat minit kemudian dan mendapati tiga blok gudang berkenaan sedang terbakar.
“Ketiga-tiga blok gudang jenis kekal yang masing-masing berkeluasan kira-kira 279 meter persegi musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu.
“Sebanyak 12 kenderaan yang berada di kawasan berkenaan turut terbakar 100 peratus, namun tiada mangsa dilaporkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mohd Pisar berkata, seramai 29 anggota bomba dari BBP Penampang, BBP Kota Kinabalu dan BBP Putatan terbabit dalam operasi pemadaman menggunakan jentera bomba serta lori tangki air.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.32 tengah malam selepas hampir dua jam operasi pemadaman dijalankan.
“Kerja pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada lagi kebakaran di kawasan gudang berkenaan.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan,” katanya.
Operasi itu turut mendapat bantuan tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas Sabah Electricity.

